Petronas boleh dikecualikan keperluan pelesenan operasi di Sarawak, kata Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas boleh dikecualikan keperluan pelesenan operasi di Sarawak, kata Abang Johari

ABANG JOHARI Openg (tengah) pada sidang akhbar di DUN Sarawak bersama-sama dua Timbalan Premiernya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (kanan).
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Mei —  Sarawak boleh mengecualikan Petronas dan semua anak syarikatnya daripada keperluan pelesenan untuk beroperasi di negeri itu berikutan pemeteraian deklarasi bersama dengan kerajaan Persekutuan, kata Tan Sri Abang Johari Openg.


Premier Sarawak itu berkata, pengisytiharan tersebut turut menjadi panduan bagaimana Petronas akan dapat melaksanakan segala operasinya dengan kerjasama syarikat petroleum milik kerajaan negeri berkenaan, Petros.


Beliau bagaimanapun menambah bahawa kuasa untuk mengeluarkan lesen dan pengecualian pemberian itu sebenarnya terletak pada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi negeri tersebut.


“Kami boleh memberikan pengecualian sekiranya mereka (Petronas) sendiri memohon (untuk mendapatkan lesen tersebut), tetapi mereka perlu memberitahu kami.


"Petronas, sebagai syarikat nasional, kami memberi pengecualian kepada mereka," katanya pada sidang akhbar di kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Sarawak komited bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, Petronas dan Petros untuk melaksanakan rangka kerja kerjasama yang digariskan dalam deklarasi bersama secara suci hati.


"Ini menggerakkan anjakan strategik ke arah merealisasikan potensi gas Sarawak, memajukan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dan mempercepatkan peralihan kepada masa depan tenaga yang lebih bersih dan mampan, selaras aspirasi Sarawak menjadi hab tenaga di ASEAN," katanya.


Deklarsi yang ditandatangani Anwar dan Abang Johari di Putrajaya semalam, mengesahkan semua undang-undang Persekutuan dan negeri berkaitan pengagihan gas di Sarawak akan wujud bersama serta dihormati semua pihak terlibat dalam aktiviti itu, termasuk Petronas dan Petros.


Pengisytiharan bersama itu juga mengiktiraf Petros sebagai pengumpul gas di Sarawak, manakala Petronas akan meneruskan fungsi dan aktivitinya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.


Abang Johari turut mengalu-alukan pengisytiharan itu sebagai manifestasi jelas supaya saling menghormati dan mengiktiraf rangka kerja kawal selia Sarawak, khususnya Ordinan Pengagihan Gas 2016.


“Ini menunjukkan bahawa hak Sarawak masih lagi dihormati dan kemajuan sebenar datang daripada perkongsian secara tulen serta sikap saling percaya-mempercayai,” kata beliau. - DagangNews.com