KUALA LUMPUR 10 April – Petra Energy Bhd melalui anak syarikatnya menerima beberapa perintah kerja daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi pelaksanaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian serta pemasangan dan pentauliahan luar pesisir.
Syarikat itu memaklumkan anak syarikatnya, Petra Resources Sdn Bhd telah memperoleh empat perintah kerja berkaitan perkhidmatan pemasangan dan pentauliahan bagi Projek Pemulihan Fasiliti Bersepadu Bintulu Fasa 2 yang bernilai kira-kira RM298 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak tersebut adalah sebahagian daripada pakej perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir seluruh Malaysia yang dianugerahkan oleh PETRONAS Carigali.
“Tempoh pelaksanaan projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dengan tarikh berkuat kuasa pada 1 Disember 2025, 22 Januari 2026 dan 30 Januari 2026.
“Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tahun-tahun berikutnya sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan terdapat beberapa risiko pelaksanaan yang perlu diuruskan termasuk tenaga kerja mahir, keperluan peralatan serta pematuhan terhadap peraturan dan keselamatan operasi.
Menurutnya, Petra Energy akan melaksanakan langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko berkenaan berdasarkan pengalaman serta rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan projek seumpama itu sebelum ini.
Dalam perkembangan pasaran, saham Petra Energy susut 1.5 sen atau 2.13 peratus kepada 69 sen pada waktu rehat tengah hari dagangan Jumaat, sekali gus memberikan nilai pasaran sekitar RM222 juta.
Kontrak terbaharu ini dilihat mengukuhkan lagi kedudukan Petra Energy dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir di negara ini. - DagangNews.com








