KUALA LUMPUR 27 Ogos – Tiada pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Ini susulan insiden nahas melibatkan sebuah pesawat buatan Amerika Syarikat tersebut di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, minggu lepas.
Ketiadaan ini menyaksikan hanya Sukhoi SU-30MKM akan beraksi sebagai pesawat pejuang semasa lintas hormat bersama pesawat serangan Hawk 200.
Difahamkan, keputusan tersebut diambil selepas semua pesawat Hornet digantung operasinya buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan dan siasatan menyeluruh dijalankan.


Dalam insiden yang berlaku pada Khamis lepas, sebuah pesawat F/A-18D Hornet musnah sama sekali selepas terhempas semasa berlepas untuk menjalani latihan rutin.
Bagaimana pun, juruterbang serta jurusensor senjata terselamat setelah berjaya keluar dari pesawat menggunakan kerusi penting tanpa kecederaan serius.
Ekoran kejadian itu, jumlah pesawat Hornet yang masih beroperasi dalam inventori TUDM kini tinggal tujuh buah sahaja, sekali gus memberi kesan kepada penyertaan aset itu dalam acara-acara rasmi seperti sambutan Hari Kebangsaan.
Walaupun tanpa kehadiran pesawat Hornet, TUDM tetap mengetuai lintas terbang semasa perbarisan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.


Acara prestij itu akan disertai pelbagai aset udara lain termasuk milik TLDM dan Tentera Darat Malaysia.
Antaranya pesawat Airbus A400M, Hercules C-130, Super Lynx, AW109, AW139 dan EC725AP.
Turut menyertai lintas hormat adalah aset udara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).


Ini memperlihatkan kerjasama erat antara semua agensi keselamatan negara dalam memperingati semangat kemerdekaan.
Aset-aset udara yang terlibat terdiri daripada pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter yang akan melaksanakan penerbangan secara taktikal bermula hari ini hingga 31 Ogos di sekitar ruang udara Putrajaya dan Selangor. - DagangNews.com








