KUALA LUMPUR 7 Julai - Pesawat pengangkut taktikal Embarer KC-390 Millennium dilihat menjadi pilihan sebagai aset baharu ATM pada masa hadapan sekiranya lawatan Perdana Menteri ke Brazil dijadikan ukuran.
Embarer KC-390 Millennium sememangnya mengintai Malaysia sebagai antara pasaran baharu untuk menggantikan pesawat Hercules C-130 TUDM sedia ada.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada di Rio de Janeiro mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar pesawat terkemuka Brazil itu.

Anwar bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Embarer, Francisco Gomes Neto membincangkan peluang pelaburan strategik di Malaysia.
Perbincangan menyentuh potensi pelaburan Embraer termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan Malaysia.
Embraer pula menyatakan kesediaan untuk menjadikan Malaysia hab aeroangkasa utama di rantau ASEAN yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.
Kerjasama ini dapat memperkukuh sektor pertahanan yang mampu mempertingkat keupayaan mobiliti udara ATM.


Ini merupakan perkembangan menarik selepas kehadiran kali pertama pesawat Embarer KC-390 Millennium ke negara ini pada LIMA 2025 lalu.
Embraer, peneraju global dalam industri aeroangkasa melihat potensi untuk meneroka peluang menembusi pasaran pengangkutan udara taktikal pelbagai misi di sini.
Dalam pasaran global, KC-390 bersaing dengan pesawat Hercules C-130J.
Ia boleh membawa beban sehingga 26 tan atau 80 anggota tentera, 66 tentera payung terjun, 74 pengusung sebagai ambulans udara selain kenderaan seperti 3 buah bersaiz Humvee, sebuah helikopter Blackhawk dan kenderaan perisai.


Fokus Embraer adalah untuk menembusi pasaran negara pengguna yang berpotensi untuk menggantikan pesawat pengangkut taktikal generasi lama.
KC-390 Millennium merupakan pesawat pengangkut taktikal paling canggih dalam kelasnya yang mula beroperasi pada 2019 yang dibina untuk operasi tentera masa hadapan.
Sebanyak 42 buah pesawat KC-390 Millennium Embraer dijual dengan 10 pesawat telah pun digunakan oleh negara-negara pembeli.
Antaranya tentera udara Brazil, Portugal dan Hungary selain telah ditempah oleh Korea Selatan, Belanda, Austria dan Republik Czech.
Dengan rekaan dan ciri-ciri serba moden, KC-390 dilengkapi dengan sistem penderia dan peralatan komunikasi moden dan komprehensif yang menyokong ketersambungan penting antara pesawat, arahan operasi dan tentera di darat.


Selain itu, KC-390 mempunyai sistem peperangan elektronik bersepadu yang mantap dan sistem perlindungan pesawat.
TUDM ketika ini mengoperasikan 3 jenis pesawat pengangkut bagi mendukung pelbagai tugasan bantuan logistik pertahanan iaitu CN-235, Hercules C-130 dan Airbus A400M.
TUDM memiliki 10 buah pesawat C-130 Hercules termasuk beberapa varian C-130H-30 dan 4 buah varian pengisi minyak, KC-130H.
Kesemua pesawat pengangkut C-130 Hercules itu ditempatkan di 10 Skuadron Pangkalan Udara Subang serta 14 Skuadron Pangkalan Udara Labuan.


Sejak 2 dekad lalu TUDM telah melaksanakan proses naik taraf pesawat-pesawat Hercules secara berperingkat-peringkat dengan perancangan untuk menggunakan pesawat tersebut sehingga tahun 2040.
Bagaimana pun, keperluan TUDM untuk mendapatkan pesawat pengangkut taktikal generasi baharu dilihat perlu berdasarkan corak operasi semasa.
Sekiranya kerjasama dengan Embarer menjadi kenyataan, ia sesuatu yang positif kerana bukan sekadar pesawat baharu, malah menarik pelaburan kepada industri pertahanan tempatan. - DagangNews.com








