Peruncit berdepan tekanan margin, namun bakal diimbangi perbelanjaan pengguna memuncak 1H2026 - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruncit berdepan tekanan margin, namun bakal diimbangi perbelanjaan pengguna memuncak 1H2026 - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Dis – Para peruncit kini bersiap sedia menghadapi tekanan margin keuntungan yang semakin mengecil, didorong oleh kenaikan kos input dan buruh serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 8% ke atas lebih banyak perkhidmatan.

 

Menurut CIMB Securities, saham-saham rangkaian berasaskan pusat beli-belah seperti Bonia Corp Bhd, Padini Holdings Bhd, dan AEON Co (M) Bhd bakal menerima impak langsung apabila SST kini turut meliputi perkhidmatan penyewaan ruang.

 

Turut dijangka terkesan ialah Yoong Onn Corp Bhd, Mynews Holdings Bhd, Berjaya Food Bhd, dan MR DIY Group (M) Bhd, berikutan peningkatan kos operasi.

 

“Bagi mengurangkan tekanan ini, kami menjangka pengendali runcit akan memberi tumpuan kepada keberkesanan kos, kawalan operasi yang lebih ketat serta pelarasan harga secara selektif, manakala pengukuhan Ringgit Malaysia dan Yuan China dijangka memberikan sedikit kelegaan kepada peruncit bergantung kepada import,” kata CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Perbelanjaan pengguna dijangka memuncak pada 1H 2026

Walaupun berdepan cabaran kos, CIMB menjangka perbelanjaan pengguna akan dipacu lebih awal pada separuh pertama 2026, disokong permintaan musim perayaan yang majoritinya berlangsung pada awal tahun.

 

Keadaan ini bakal diperkuatkan oleh pelaksanaan bayaran tunai Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 kali kedua kepada semua dewasa Malaysia pada Februari 2026.

 

CIMB menganggarkan peruntukan Sara akan meningkat kepada RM9.9 bilion pada 2026, berbanding RM5.1 bilion pada 2025, manakala peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dijangka menurun kepada RM6.2 bilion (daripada RM8.5 bilion pada 2025).

 

Peruncit nilai tambah dijangka jadi penerima manfaat utama

CIMB menyenaraikan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, dengan lebih 2,000 kedai tersenarai, sebagai penerima manfaat terbesar, diikuti MR DIY dengan kira-kira 20 kedai, serta Mynews dengan 30 kedai Supervalue — memandangkan kesemuanya sejajar dengan permintaan pengguna yang semakin memilih barangan nilai terbaik.

 

Firma penyelidikan itu turut menyatakan segmen barangan pengguna asas menerajui prestasi suku ketiga tahun ini dengan dua syarikat mengatasi jangkaan, manakala semua tiga syarikat yang mencatat prestasi di bawah jangkaan datang daripada sektor peruncitan disebabkan permintaan lembap dan kos operasi lebih tinggi.

 

Saranan pelaburan

CIMB menaik taraf Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) kepada saranan BELI daripada HOLD atas penilaian menarik, sambil mengekalkan saranan NEUTRAL untuk sektor pengguna secara keseluruhan.

 

Kaunter pilihan utama CIMB dalam sektor ini ialah 99 Speed Mart, Farm Fresh Bhd, dan Padini Holdings Bhd- DagangNews.com