KUALA LUMPUR 25 Mac — Ketegangan geopolitik global serta usaha banyak negara utama memperkukuh sektor semikonduktor kini menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pesat projek fabrikasi cip.
Menurut Kenanga Investment Bank, perkembangan positif itu membuka peluang besar kepada Kelington Group Berhad dan terbaharu, ia memenangi kontrak AS$105 juta (RM414 juta) di Gujarat, India.
Tambah firma penyelidikan tersebut, kejayaan itu mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan, selain memperkukuh kedudukannya dalam pasaran semikonduktor yang sedang berkembang pesat di dunia.
"Tender ini melibatkan penyediaan sistem pengagihan gas bagi sebuah fasiliti fabrikasi cip, yang merupakan komponen kritikal dalam infrastruktur semikonduktor di India," katanya dalam nota.
Menurut Kenanga, kontrak baharu diperoleh Kelington tersebut dijangka mampu menyumbang keuntungan sebelum cukai (PBT) mencecah sehingga RM96 juta dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.
Sehubungan itu jelas firma berkenaan dalam notanya, kumpulan tersebut dinilai berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran memperoleh kontrak baharu sehingga RM2 bilion sepanjang tahun 2026.
Selain itu, syarikat turut memperoleh pembelian bernilai AS$10.4 juta (RM41.2 juta) bagi sistem penulen gas untuk projek sama, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak AS$115.4 juta (RM457.2 juta).
Artikel berkaitan: Kelington menang kontrak sistem pengagihan gas RM413.7 juta di India

"Kelington juga mempunyai tiga surat hasrat (LOI) tambahan yang bernilai AS$17 juta (RM67.3 juta), yang berpotensi meningkatkan lagi skop projek sekiranya dimuktamadkan," jelas Kenanga lagi.
Syarikat itu berada pada situasi strategik memanfaatkan pertumbuhan industri semikonduktor India, dipacu pelaburan kerajaan sekitar AS$10 bilion (RM39.6 bilion) bagi membangunkan hab cip global.
Justeru, gelombang pembinaan fabrikasi baharu di seluruh dunia, didorong oleh isu rantaian bekalan dan ketegangan perdagangan, dijangka terus merangsang permintaan terhadap kepakaran Kelington.
Prestasi saham Kelington setakat ini kekal stabil selepas melonjak hampir 50% pada tahun lalu, dan sentimen terhadap syarikat masih positif dengan semua firma utama mengekalkan pandangan optimis.
"Harga sasaran (TP) purata sekitar RM6.40 mencerminkan potensi kenaikan 26% daripada harga semasa, disokong prospek pertumbuhan kukuh segmen semikonduktor global," kata Kenanga. - DagangNews.com








