KUALA LUMPUR 3 Dis – Momentum pertumbuhan Oriental Kopi Holdings Bhd dijangka kekal utuh, disokong peluasan agresif rangkaian kafe, pengukuhan pengedaran produk FMCG serta permintaan pengguna yang stabil di lokasi bertrafik tinggi.
MBSB Research berkata, strategi pengembangan tersebut terus memberi rangsangan kepada pertumbuhan hasil, namun tekanan margin dalam jangka terdekat dijangka berlanjutan.
"Ini berikutan kumpulan masih menanggung kos buruh yang lebih tinggi, termasuk levi pekerja asing, selain kos pra-pembukaan premis baharu di bawah pelaksanaan strategi peluasan dipercepatkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MBSB menambah, sumber pengurusan turut memaklumkan kos bahan mentah kekal terkawal, namun terdapat gangguan sementara dari segi bekalan sayur-sayuran dan ayam susulan banjir yang melanda Thailand baru-baru ini.
Katanya, meskipun asas operasi dinilai kukuh, keberkesanan pelaksanaan rancangan peluasan syarikat akan menjadi faktor utama dalam menentukan normalisasi margin serta kebolehskalaan keuntungan pada masa hadapan.
"Prestasi kewangan syarikat akan kekal dipacu oleh asas fundamental yang solid, namun pemantauan rapat terhadap kos operasi dan keberhasilan pengembangan cawangan baharu akan terus menjadi tumpuan pasaran," katanya.
MBSB mengekalkan saranan BELI ke atas Oriental Kopi dengan harga sasaran (TP) RM1.03, berdasarkan gandaan 25 kali EPS FY26F. Firma tersebut turut menambah bahawa paras harga semasa memberi peluang kepada pelabur untuk mengunci keuntungan sedia ada.
Menurut MBSB lagi, dalam taklimat penganalisis bagi tahun kewangan 2025 (FY25) yang dianjurkan syarikat itu baru-baru ini, Oriental Kopi dilaporkan mencatat satu lagi tahun rekod dari segi hasil dan keuntungan.
Kejayaan itu didorong trafik pelanggan yang kukuh di rangkaian kafenya serta pertumbuhan berterusan segmen FMCG.
Bagaimanapun, menurut MBSB, pertumbuhan keuntungan syarikat kelihatan lebih sederhana berikutan peningkatan perbelanjaan operasi.
"Ini termasuk kos pentadbiran yang lebih tinggi, kos pra-pembukaan premis baharu yang tidak boleh ditolak cukai serta kenaikan perbelanjaan berkaitan peluasan rangkaian cawangan yang dipercepatkan.
"Faktor-faktor ini membawa kepada kadar cukai efektif yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya," katanya.
MBSB menambah memandangkan perkembangan terkini ini sejajar dengan andaian sedia ada, unjuran pendapatan syarikat dikekalkan tanpa perubahan.
“Walaupun kami kekal positif terhadap asas fundamental Oriental Kopi yang menunjukkan pertumbuhan teguh dan prospek jangka panjang yang stabil, penilaian semasa kelihatan agak mahal,” kata firma penyelidikan itu lagi. - DagangNews.com








