Pertumbuhan KDNK pada 1QFY25 beri petanda awal kesan perang tarif, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan KDNK pada 1QFY25 beri petanda awal kesan perang tarif, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mei — Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 menggambarkan ekonomi Malaysia mula menunjukkan petanda awal kesan perang tarif secara berterusan, kata penganalisis.


Maybank Investment (Maybank IB) berkata, KDNK Malaysia akan terus bergerak lemah pada tempoh 2QFY25, dengan sebahagiannya disebabkan oleh kesan pertumbuhan asas yang tinggi daripada 2QFY24 sebanyak 5.9% peratus dan faktor asas lain.


Susulan itu, firma penyelidikan tersebut mengurangkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar untuk tahun ini kepada 4.1 peratus, daripada 4.3 peratus sebelumnya, berdasarkan kesan semakan KDNK 2024 dan prestasi 1Q25 yang lebih lemah daripada ramalan.


"Risiko penurunan itu namun sebahagiannya dikurangkan oleh perbelanjaan berdaya tahan pengguna berikutan langkah peningkatan tahap pendapatan, kitaran pelaburan secara berterusan dan pemulihan sektor pelancongan," katanya dalam nota kajian


Kenanga Research turut berpandangan yang sama dan menyatakan, usaha penurunan perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China ketika ini boleh menjadi satu lagi faktor tambahan kepada pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia sepanjang 2025.


Firma penyelidikan itu telah menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan KDNK untuk 2025 kepada 4.3 peratus, daripada 4.8 peratus, disebabkan oleh risiko perdagangan global dan pertumbuhan pada 1QFY25 yang diramal lebih perlahan daripada jangkaan.


Katanya, walaupun berlaku penangguhan tarif selama tempoh 90 hari dan ketegangan perdagangan AS-China pula semakin reda menawarkan kelegaan sementara, tetapi untuk mencapai paras pertumbuhan 5 peratus ketika ini kelihatan tidak mungkin.


“Sektor berkaitan komoditi menghadapi tekanan harga, dan ketidaktentuan dasar global boleh menjejaskan sentimen perniagaan. Ramalan kami kekal sensitif terhadap rundingan perdagangan kerana hasil positif boleh meningkatkan pertumbuhan," katanya.


Sementara itu, Standard Chartered Global Research (StanChart Research) berkata, satu kelebihan daripada angka pertumbuhan rendah ialah potensi inflasi kekal lemah, membolehkan bank pusat mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) apabila diperlukan.


Firma penyelidikan itu menyemak unjuran inflasi indeks harga pengguna untuk tahun ini menurun kepada 1.8 peratus berbanding 2.2 peratus, berdasarkan data inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan setakat ini dan kejatuhan harga minyak global.


KDNK yang berada di bawah potensi katanya, juga harus membantu dalam meredakan inflasi teras pada masa hadapan dan ia juga mengurangkan unjuran pertumbuhannya untuk tahun ini kepada 4.2 peratus, turun daripada unjuran awalnya sebanyak 5 peratus.


“Kami terus menjangka Bank Negara akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas pada Julai, dengan risiko lebih banyak pemotongan pada 2025 jika data ekonomi merosot lebih daripada jangkaan,” kata StanChart Research dalam satu laporan.


CGS International pula sebaliknya menjangkakan pertumbuhan KDNK boleh mengejutkan untuk meningkat, kerana tempoh ihsan tarif selama 90 hari itu akan meningkatkan eksport tempatan, sama seperti yang berlaku pada tempoh 1QFY25,


Walaupun kebanyakan ahli ekonomi berpandangan prospek ekonomi Malaysia adalah lemah sedikit,  firma itu memberi contoh perkembangan semasa terutamanya pada Mac 2025 apabila aktiviti pelancongan didapati lebih tinggi berbanding sebelumnya.


Justeru, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 2025 kepada 4.2 peratus tahun ke tahun. - DagangNews.com