Pertumbuhan hasil Top Glove mungkin terancam jika ketegangan AS-China reda, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan hasil Top Glove mungkin terancam jika ketegangan AS-China reda, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei — Isu ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dijangka semakin reda kemungkinan besar boleh memberi ancaman kepada pertumbuhan hasil  Top Glove Corporation Berhad, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan terbaharu itu diramalkan boleh memberi risiko pula kepada kumpulan berkenaan kerana China sudah tentu mengambil bahagian semula dalam pasaran sarung tangan di AS selepas ini.


Tambahnya, walaupun potensi kesan diunjur minimum, ia berpandangan tempoh penangguhan selama 90 hari untuk pelaksanaan tarif berpotensi mengubah dinamik pasaran industri sarung tangan AS, yang kini dikuasai oleh syarikat Malaysia.


"Kami menaikkan andaian premium risiko untuk mencerminkan keadaan risiko yang lebih tinggi berkaitan dengan kelonggaran daripada ketegangan perdagangan melibatkan kedua-dua negara berkenaan," katanya dalam satu nota kajian.


Pada 1QFY25, pengeluar sarung tangan Malaysia mendominasi sebanyak 69 peratus pasaran AS berbanding China hanya 3.6 peratus tetapi ia boleh berubah selepas berakhir tempoh 90 hari pelaksanaan tarif timbal balik itu.


Sehubungan itu, RHB Research menyemak semula saranan ke atas Top Glove daripada "jual" kepada "beli" dengan harga sasaran sesaham juga diubah lebih rendah kepada 75 sen atau berbanding RM1.06 iaitu penurunan 13 peratus.


Firma itu namun masih mengekalkan sebahagian besar anggaran pendapatan syarikat tersebut tidak banyak berubah berdasarkan purata sejarah tiga tahun termasuk skor inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) iaitu 3.1.


Risiko pertumbuhan Top Glove secara umum bergantung kepada situasi hubungan AS-China yang semakin merosot, peningkatan dalam harga jualan purata sarung tangan dan pengembangan kapasiti lebih cepat daripada jangkaan awal.


"Kumpulan ini juga terdedah kepada risiko kadar penggunaan yang lebih cepat daripada unjuran dan harga bahan mentah lebih rendah daripada jangkaan sebelum itu," kata RHB Research. - DagangNews.com