KUALA LUMPUR 19 Ogos - Keputusan kewangan CelcomDigi Bhd bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25) menunjukkan prestasi sedikit di bawah jangkaan, dengan keuntungan operasi teras (EBIT) meningkat 9.2 peratus.
Bagaimanapun, dengan kos transformasi IT serta susut nilai dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini (2H25), pertumbuhan EBIT dijangka kembali normal sejajar dengan panduan yang ditetapkan, kata RHB Research.
Firma itu dalam nota penyelidikannya masih menjangkakan keuntungan teras bakal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 25 peratus bagi tempoh FY25 hingga FY27, hasil peningkatan pelaksanaan komersial dan sinergi lebih besar daripada penyiapan naik taraf sistem IT.
Dari segi hasil perkhidmatan, ia kekal mendatar pada 1H25 (-0.7% tahun ke tahun, +1.4% suku ke suku), dipengaruhi oleh kelemahan segmen prabayar yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan dalam hasil gentian rumah (home fibre) dan pascabayar.
EBIT pada suku kedua 2025 (2Q25) meningkat 6% suku ke suku, didorong terutamanya oleh kos kakitangan yang lebih rendah selepas pertindihan RM41 juta direkodkan pada 1Q25 serta hasil jualan peranti.
Hasil prabayar susut 0.6% suku ke suku berikutan faktor bermusim (muat semula dan perbelanjaan permainan lebih rendah).
Sementara itu, pembersihan pangkalan data pelanggan prabayar turut menjejaskan jumlah pelanggan, namun tidak memberi kesan terhadap hasil.
Pendapatan serta langganan jalur lebar rumah pula merekodkan paras tertinggi suku tahunan, meningkat dua angka secara tahunan atau suku tahunan, dipacu pengambilan kukuh pelan konvergen (CD One) yang menyumbang sepertiga daripada penambahan kasar pelanggan gentian. Syarikat turut memaklumkan kos borong 5G kekal stabil pada suku ke suku (1H25: RM110 juta).
Setakat akhir Jun, integrasi rangkaian telah mencapai 84% berbanding kira-kira 80% pada 1Q25, namun kadar kemajuan dilihat perlahan berkemungkinan akibat perbincangan yang berlanjutan mengenai tapak-tapak tertentu.
Pihak pengurusan turut menjelaskan industri telah mencatat sedikit kemajuan dalam rundingan bersama kerajaan mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sewaan menara, dengan potensi impak terburuk dianggarkan sekitar RM100 juta setahun (kira-kira 5% daripada unjuran). - DagangNews.com








