Pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua 2025 akibat risiko perdagangan dan ketidaktentuan dasar - MARC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan dijangka sederhana pada separuh kedua 2025 akibat risiko perdagangan dan ketidaktentuan dasar - MARC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Pertumbuhan ekonomi global dijangka sederhana pada separuh kedua 2025, dipengaruhi ketegangan perdagangan, ketidaktentuan dasar serta sentimen geopolitik yang suram, kata MARC Ratings.

 

Agensi penarafan kredit tempatan itu berkata, ekonomi Amerika Syarikat menguncup 0.2% pada suku pertama tahun ini dengan indeks pengurus pembelian (PMI) untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing jatuh di bawah paras neutral 50.

 

"Sentimen pengguna turut merosot, mencerminkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi negara itu.

 

"Tindakan AS mengenakan tarif baharu setinggi 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos turut membayangkan pendekatan yang lebih proteksionis dengan kadar tarif jangka panjang dijangka kekal lebih tinggi daripada purata global sebanyak 2.7%," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebaliknya, Zon Euro (negara-negara yang menggunakan mata wang euro seperti Jerman, Perancis dan Itali) pula mencatat pertumbuhan 1.5% pada suku pertama, didorong peningkatan perbelanjaan pertahanan dan lonjakan perdagangan sementara. 

 

Tambah MARC, China pula dijangka terus berdepan permintaan domestik yang lemah dan tekanan deflasi, meskipun rangsangan fiskal dan perjanjian perdagangan baharu dengan AS berpotensi menyokong pertumbuhan sekitar 5%.

 

Bagi Malaysia, MARC Ratings mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 4.4% bagi 2025, susut berbanding 5.1% pada 2024. 

 

"Walaupun eksport dijangka terjejas, permintaan domestik kekal kukuh hasil pasaran buruh yang bertambah baik, dasar monetari akomodatif dan pemulihan pelancongan. 

 

"Sektor perdagangan borong dan runcit mencatat pertumbuhan 4.8% setakat April, manakala pembinaan melonjak 14.2% pada suku pertama," katanya.

 

Inflasi negara pula kekal terkawal dengan kadar inflasi utama menurun daripada 1.7% (Januari) kepada 1.4% (April) walaupun pelaksanaan SST yang diperluas bermula Julai. 

 

Harga minyak mentah Brent yang lebih rendah dijangka turut membantu menyederhanakan tekanan harga. 

 

Susulan itu, MARC menyemak semula unjuran inflasi 2025 kepada 2.3%, turun daripada 2.6% sebelum ini.

 

Bon kerajaan Malaysia (MGS) kekal menarik pada separuh pertama 2025 dengan aliran masuk asing mencecah RM26.9 bilion dan hasil bon 10 tahun dijangka berlegar sekitar 3.50%. 

 

Nilai ringgit juga mencatat kenaikan 5.3% setakat pertengahan Jun namun MARC menjangkakan aliran ini mungkin perlahan pada separuh kedua tahun ini.

 

Dalam pasaran bon global, hasil bon Jerman dan AS menunjukkan pergerakan bercampur yang mencerminkan jangkaan penurunan kadar faedah di Eropah serta kebimbangan fiskal di bawah pentadbiran AS yang baharu. - DagangNews.com