Pertama Digital serah pelan pemulihan kepada SC selepas semak semula terma pengambilalihan D-Ron | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital serah pelan pemulihan kepada SC selepas semak semula terma pengambilalihan D-Ron

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 April – Pertama Digital Bhd telah menyerahkan pelan pemulihan  kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) selepas menyemak semula terma bagi dua cadangan pengambilalihan utama syarikat.

 

Syarikat itu berkata, pelan berkenaan dikemukakan pada 8 April 2026 dan turut disertakan dengan surat tambahan berkaitan cadangan pengambilalihan D-Ron Singapore Pte Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd.

 

Menurut Pertama Digital, langkah tersebut merupakan satu kemajuan penting yang mencerminkan pelaksanaan strategi secara berdisiplin, penyelarasan yang lebih kukuh serta usaha berterusan untuk memulihkan status penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

 

Pada Jun tahun lalu, kumpulan itu telah memeterai perjanjian untuk memperoleh pegangan 80 peratus dalam kedua-dua syarikat berkenaan yang terlibat dalam sistem pengawasan video di Singapura dan Malaysia.

 

Bagaimanapun, syarikat telah mengeluarkan surat tambahan bagi menyemak semula beberapa terma perjanjian tersebut, khususnya melibatkan tadbir urus, hak pengembangan serta pengaturan selepas penyempurnaan transaksi.

 

Antara perubahan utama termasuk hak pertama untuk menilai dan menyertai sebarang peluang perniagaan baharu yang melibatkan operasi D-Ron di Thailand, termasuk cadangan berkaitan pegangan ekuiti, terbitan sekuriti baharu atau kerjasama dengan pihak ketiga.

 

Peruntukan itu memberi ruang kepada Pertama Digital untuk menilai serta berunding terlebih dahulu sebelum peluang tersebut ditawarkan kepada pihak luar, sekali gus memperkukuh kedudukan strategik kumpulan dalam pasaran serantau.

 

Surat tambahan itu turut menetapkan syarat berkaitan penggunaan jenama D-Ron di Thailand bagi melindungi reputasi serta hak harta intelek syarikat berkenaan.

 

Selain itu, beberapa pindaan lain turut dibuat termasuk lanjutan tempoh obligasi tidak bersaing dan tidak mendapatkan pekerja kepada tiga tahun selepas tarikh penyempurnaan transaksi.

 

Syarat bagi tempoh pelaksanaan opsyen panggilan dan jual pula turut disemak semula kepada 12 bulan selepas tarikh penyempurnaan, selaras dengan penstrukturan semula terma perjanjian tersebut.

 

Sementara itu, saham Pertama Digital ditutup mendatar pada 9.5 sen pada Khamis, dengan permodalan pasaran sebanyak RM41.6 juta, jauh lebih rendah berbanding kemuncaknya pada RM4.65 sesaham yang dicatatkan pada November 2023. - DagangNews.com