Persatuan tenaga lestari tuntut dipercepatkan pelaksanaan aktiviti tenaga boleh diperbaharui | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan tenaga lestari tuntut dipercepatkan pelaksanaan aktiviti tenaga boleh diperbaharui

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 AprilPersatuan Perusahaan Fotovoltaik dan Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA) memberi amaran Malaysia perlu mempercepatkan pelaksanaan aktiviti tenaga boleh diperbaharui (RE).


Jelasnya, negara ini berada dalam ruang 'jendela masa' semakin sempit, dengan sebarang kelewatan berisiko menjejaskan aspek keselamatan tenaga serta daya tarikan pelaburan bernilai tinggi.


Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan lagi kekurangan dasar, sebaliknya kelemahan dari segi kelajuan pelaksanaan dan kecekapan sistem penyampaian yang boleh menghalang manfaat ekonomi.


“Tanpa penambahbaikan segera dalam kecekapan pelaksanaan, Malaysia berisiko terlepas peluang kritikal menterjemahkan dasar sedia ada kepada hasil nyata,” kata MPSEA dalam kenyataan hari ini.


Ujarnya, isu ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan minyak mengukuhkan keperluan mendesak untuk penggunaan RE dipercepat bagi mengurangkan kebergantungan bahan api import.


Tambahnya, pergantungan besar tersebut mendedahkan negara ini kepada isu turun naik harga semasa, risiko bekalan serta kejutan luaran yang boleh menjejaskan lagi kestabilan ekonomi jangka panjang.


Pada masa sama jelas MPSEA, permintaan terhadap RE terus meningkat, khususnya industri pembuatan, perladangan, logistik dan runcit yang melihatnya sebagai penting bagi kestabilan kos masa depan.


"Banyak syarikat namun masih berdepan halangan seperti pertindihan kelulusan, tempoh kelulusan tidak seragam, proses yang berpecah serta kekurangan kejelasan dalam keperluan program," katanya.

 

solar_DagangNews


Malaysia ketika ini ada beberapa inisiatif utama termasuk Skim Bekalan RE Korporat (CRESS) serta Program Tindakan Peralihan Pemecut Solar (Solar ATAP) selaras usaha Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).


Selain itu ujar MPSEA, insentif seperti Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) turut dilihat sebagai langkah positif kepada peralihan tenaga negara.


Bagaimanapun, ia menegaskan yang usaha tersebut perlu disokong dengan pelaksanaan lebih cekap, termasuk garis panduan jelas, koordinasi baik dan proses kelulusan pantas antara semua pihak.


"Justeru, kami menggesa pengukuhan penyelarasan antara agensi, termasuk peranan tersusun oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), bagi memperkemas proses," tegasnya.


MPSEA turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk meningkatkan kejelasan program RE, memperkukuh sokongan fasilitasi kepada pemohon, serta mempertingkat koordinasi pihak berkaitan.


Malaysia ujarnya sudah mempunyai asas dasar dan minat pasaran yang kukuh, dengan keutamaan kini adalah memastikan sistem pelaksanaan kerja turut mampu bergerak seiring dengan komitmen tersebut.


Kejayaan peralihan tenaga bukan lagi bergantung kepada perancangan semata-mata, sebaliknya kepada keupayaan melaksanakan inisiatif dengan pantas dan konsisten bagi menjamin keselamatan tenaga.


"Usaha bersepadu ini mampu menarik pelaburan dan memperkukuh daya tahan ekonomi, serta memastikan sistem penyampaian selari dengan sasaran peralihan tenaga negara," kata MPSEA. - DagangNews.com