KUALA LUMPUR 17 April – Pembayaran tuntutan di bawah Geran PMKS Madani yang mengambil masa terlalu lama menyebabkan tekanan kewangan serius kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penyedia perkhidmatan teknologi di seluruh negara.
Persatuan PKS Malaysia berkata isu tersebut telah menjadi “serius dan mendesak” kerana memberi kesan kepada kedua-dua komuniti PMKS serta ekosistem digital yang lebih luas di Malaysia.
Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata geran berkenaan diperkenalkan sebagai inisiatif positif untuk membantu PMKS mengguna pakai perkhidmatan digital melalui mekanisme padanan 50 peratus, dengan perniagaan menanggung baki 50 peratus kos.
Menurut beliau, berdasarkan proses yang dimaklumkan kepada pihak berkepentingan, selepas PMKS menerima kelulusan di bawah geran berkenaan, mereka akan membuat bayaran awal mengikut struktur padanan yang ditetapkan.
“Seterusnya, syarikat vendor yang dilantik akan menyiapkan penghantaran serta melaksanakan perkhidmatan digital seperti yang dipersetujui dalam skop projek.
“Selepas semua proses tersebut disempurnakan, tuntutan akan dikemukakan untuk semakan dan pengesahan oleh pihak berkaitan dan baki geran pula dijangka dibayar dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas tuntutan diproses.
“Namun, maklum balas daripada pihak terjejas menunjukkan majoriti besar tuntutan masih belum dibayar walaupun telah melepasi tempoh lebih enam bulan, jauh melebihi garis masa asal yang dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih membimbangkan beliau ialah masih tiada satu ketetapan garis masa yang jelas atau jaminan kukuh mengenai bila tuntutan yang telah diluluskan itu akan diselesaikan.
Chin berkata kelewatan berpanjangan itu telah menyebabkan lebih 400 syarikat vendor yang layak berdepan kesukaran serius, apabila ramai daripada mereka telah pun menyempurnakan perkhidmatan dan menanggung 100 peratus kos pelaksanaan serta beban aliran tunai terlebih dahulu.
Dalam masa sama, beliau berkata lebih 10,000 PMKS yang diluluskan di bawah program ini turut terkesan, apabila sebahagian daripada mereka dilaporkan diminta menanggung sendiri baki 50 peratus bayaran, walaupun kelulusan geran telah diberikan sebelum ini.
Situasi itu menurutnya telah mewujudkan beban kewangan tidak dijangka kepada PMKS serta mendedahkan mereka kepada risiko seperti penggantungan perkhidmatan, gangguan sokongan, caj faedah lewat bayar, tindakan kutipan hutang, dan kemungkinan prosiding undang-undang.
Beliau menambah keadaan ini juga menimbulkan tekanan operasi dan kewangan yang serius kepada penyedia perkhidmatan digital yang telah melaksanakan projek terlebih dahulu tanpa pembayaran balik.
Sehubungan itu, Persatuan PKS Malaysia menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas dengan mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung status semua tuntutan tertunggak, punca kelewatan serta langkah pembetulan yang sedang diambil.
Persatuan itu turut menuntut supaya satu garis masa pembayaran yang jelas dan telus diumumkan bagi semua tuntutan yang telah diluluskan, selain mempercepatkan proses pembayaran terutama bagi kes yang telah lama tertunggak bagi memulihkan keyakinan industri dan mengurangkan tekanan kewangan dalam ekosistem digital negara. - DagangNews.com








