Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia perluas jaringan pelancongan, halal dan hospitaliti bersama penggiat industri Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia perluas jaringan pelancongan, halal dan hospitaliti bersama penggiat industri Thailand

Misi tersebut menjadi platform untuk membina hubungan perniagaan, memahami perkembangan pelancongan serantau dan mengenal pasti peluang baharu kepada industri hotel Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Julai – Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia (MyBHA®) membuka peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan dan hospitaliti selepas berjaya menyelesaikan misi perdagangan ke Bangkok, Thailand yang berlangsung dari 14 hingga 17 Julai 2026.

 

Misi tersebut menghimpunkan pelbagai sesi libat urus bersama pemain industri Thailand termasuk memeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), penyertaan dalam pameran perdagangan halal antarabangsa serta lawatan ke organisasi berkaitan pelancongan dan teknologi perjalanan.

 

MyBHA berkata, misi itu bertujuan menghubungkan ahli persatuan dengan pasaran serantau selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui peningkatan jaringan industri serta promosi sektor penginapan tempatan.

 

Presiden Kebangsaan MyBHA®, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, misi tersebut menjadi platform untuk membina hubungan perniagaan, memahami perkembangan pelancongan serantau dan mengenal pasti peluang baharu kepada industri hotel Malaysia.

 

“Pelancongan hari ini saling berkait antara hotel, agensi pelancongan, platform teknologi, penyedia perkhidmatan kesihatan, organisasi perdagangan dan badan pelancongan antarabangsa.

 

“Melalui hubungan secara langsung dengan rakan industri di Thailand, kami melihat potensi untuk meningkatkan jumlah pelancong, peluang perniagaan, pertukaran pengetahuan serta pertumbuhan industri dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

t

 

Tiga MoU Buka Ruang Kerjasama Industri Malaysia-Thailand

Antara pencapaian utama misi perdagangan itu ialah pemeteraian tiga MoU bersama organisasi pelancongan dan perniagaan Thailand sempena Seminar dan Sesi Jaringan Visit Malaysia 2026 yang dianjurkan Tourism Malaysia Bangkok.

 

MoU tersebut melibatkan kerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan Thailand (TTAA), Persatuan Pelancongan Perubatan dan Kesejahteraan Thailand (TMWTA) serta CHG Global Organization (CHG).

 

Perjanjian bersama TTAA dijangka membuka peluang hubungan lebih rapat antara hotel ahli MyBHA dengan ejen pelancongan Thailand, sekali gus membantu memperkenalkan hotel bajet dan hotel perniagaan Malaysia kepada pelancong dari negara itu.

 

Sementara itu, kerjasama dengan TMWTA memberi tumpuan kepada sektor pelancongan perubatan termasuk pembangunan program pelancongan bersepadu, pertukaran kepakaran serta peluang perniagaan rentas sempadan.

 

Bagi kerjasama dengan CHG Global Organization pula, ia melibatkan peluang dalam bidang pameran, persidangan, padanan perniagaan, misi pelaburan dan aktiviti jaringan antarabangsa.

 

Dr Sri Ganesh berkata, MoU tersebut bukan sekadar satu bentuk kerjasama rasmi, sebaliknya menjadi platform untuk menghubungkan pengusaha hotel, agensi pelancongan, penyedia perkhidmatan kesihatan dan pelabur bagi mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada industri.

 

t

 

t

 

Teroka Peluang Halal, Digital dan Pelancongan Serantau

Selain sesi perniagaan, wakil MyBHA turut menyertai MEGA HALAL Bangkok 2026 sebagai jemputan bagi meneroka peluang dalam industri halal global.

 

Penyertaan itu memberi peluang kepada MyBHA melihat potensi menghubungkan ekonomi halal dengan sektor hospitaliti Malaysia, termasuk produk mesra Muslim, perkhidmatan hotel halal, pelancongan kesejahteraan serta kerjasama dengan pemain industri antarabangsa.

 

Dalam acara sama, MyBHA turut memeterai MoU bersama Comasia Limited bagi mewujudkan kerjasama dalam penganjuran acara, pameran dan inisiatif perniagaan yang memberi manfaat kepada ahli persatuan.

 

Misi itu turut merangkumi lawatan ke ibu pejabat operasi Agoda di Bangkok bagi membincangkan perkembangan industri hospitaliti digital, trend tempahan dalam talian serta peranan teknologi dalam membantu pengusaha hotel memenuhi perubahan keperluan pelancong.

 

MyBHA juga mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan pelancongan Asia Pasifik, pembangunan pelancongan mampan serta peluang kerjasama bersama organisasi pelancongan serantau.

 

Dr Sri Ganesh berkata, hubungan Malaysia dan Thailand sebagai negara jiran memberi potensi besar untuk membangunkan ekosistem pelancongan yang saling melengkapi, termasuk menerusi peningkatan pertukaran pelancong dan kerjasama antara pemain industri.

 

Beliau berkata, MyBHA akan meneruskan hubungan yang dibina menerusi misi berkenaan melalui program padanan perniagaan, pertukaran industri, penyertaan pameran serta aktiviti promosi bagi membantu ahli persatuan mendapatkan akses kepada pasaran lebih luas. - DagangNews.com