Persatuan Ejen Kargo Udara bimbang caj bahan api tidak telus tingkatkan kos operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Ejen Kargo Udara bimbang caj bahan api tidak telus tingkatkan kos operasi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mac – Persatuan Ejen Kargo Udara Malaysia (AFAM) membangkitkan kebimbangan terhadap kenaikan caj bahan api (FSC) yang didakwa sebagai tidak telus dan tiada penyeragaman.


Keadaan tersebut jelas mereka, sekali gus dikhuatiri meningkatkan kos operasi perniagaan di Malaysia, apabila terdapat perbezaan ketara dalam kadar FSC dikenakan oleh syarikat penerbangan.


Menurut badan syarikat penyedia perkhidmatan logistik tempatan yang ditubuhkan sejak 1975 itu, situasi jurang berkenaan khususnya laluan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.


Pengerusinya, Thomas Mathew menegaskan, perbezaan tersebut berlaku walaupun syarikat penerbangan masih beroperasi dalam persekitaran harga bahan api dan infrastruktur lapangan terbang yang sama.


“FSC sepatutnya mencerminkan pergerakan sebenar harga bahan api global dan berpandukan penanda aras jelas. Tanpa mekanisme rujukan, terdapat risiko tidak konsisten," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu tambah beliau, AFAM menilai perkembangan berkenaan akhirnya meningkatkan pula kos perniagaan,  walaupun industri kargo udara menyokong usaha pemulihan kos syarikat penerbangan.

 

kargo udara

 

Ujar Mathew, ketelusan dalam penetapan caj amat diperlukan, kerana lazimnya syarikat penerbangan global menggunakan indeks harga bahan api antarabangsa sebagai kadar rujukan standard mereka.


Bagaimanapun tegasnya, pasaran domestik dilihat belum lagi mempunyai penanda aras yang seragam, dan ia amat penting bagi memastikan pelarasan caj lebih telus serta selari dengan kos sebenar.


"Antara penanda aras FSC yang dicadangkan termasuk Jet Fuel Price Monitor diterbitkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) atau Singapore Jet Fuel Index," kata beliau.


Selain isu FSC, AFAM turut menyentuh kebimbangan berkaitan caj pengendalian terminal dan saringan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang menunjukkan ketidaksamaan antara pengendali.


Persatuan itu jelas Mathew, sudah membawa perkara berkenaan kepada perhatian Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Pengangkutan (MoT), sambil menggesa campur tangan daripada pihak kerajaan.


Penyeragaman caj tersebut katanya, selari dengan hasrat Malaysia sendiri untuk menjadikan KLIA di Sepang, Selangor sebagai hab logistik dan pemindahan kargo serantau kerana kedudukannya strategik.


"Pada masa sama, AFAM berpandangan pengenalan mekanisme berasaskan indeks telus akan membantu FSC kekal sebagai komponen pemulihan kos yang adil," katanya. - DagangNews.com