KUALA LUMPUR 25 Mac — Prospek sektor automotif dilihat semakin mencabar apabila jumlah volum industri (TIV) mencatatkan penyusutan hampir 20% pada Februari 2026, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ia mencerminkan permintaan yang semakin lemah di tengah-tengah tekanan kos sara hidup, persaingan harga yang sengit serta peralihan ke arah kenderaan elektrik (EV).
Jelasnya, TIV bulan lalu jatuh ketara 18.5% bulan ke bulan (MoM) kepada 52,414 unit berbanding 64,298 unit pada Januari 2026, dipengaruhi faktor bermusim termasuk hari bekerja yang lebih pendek.
“Segmen kenderaan penumpang mencatatkan penurunan 19.2% kepada 48,700 unit, namun kenderaan komersial hanya susut 6.7%, menunjukkan permintaan masih bertahan,” kata TA Securities dalam nota.
Secara tahunan (YoY) pula kata firma tersebut, TIV Februari 2026 turut merosot 19.6%, didorong kelemahan jualan kenderaan penumpang yang jatuh 20.7%, manakala kenderaan komersial menyusut 1.9%.
Bagi tempoh dua bulan pertama 2026, TIV mencatatkan peningkatan kecil 0.8% kepada 116,700 unit, dengan jualan kenderaan penumpang naik 0.4%, sementara kenderaan komersial berkembang kukuh 5.8%.
TA Securities menjangka pemulihan jualan pada Mac 2026 disokong bulan bekerja penuh dan permintaan bersempena perayaan yang diramal menstabilkan semula jualan selepas kelemahan bagi Februari 2026.

"Kami menyatakan Proton terus menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun pasaran lemah, dengan jualan meningkat 21.5% YoY, disokong permintaan terhadap pelbagai model baharu," kata firma itu.
Sebaliknya tambah firma berkenaan, Perodua pula dikhuatiri mencatatkan penurunan ketara sebanyak 24.9% YoY, sekali gus mengheret keseluruhan jualan kenderaan jenama nasional yang susut 12.8%.
Bagi jenama bukan nasional ujar TA Securities, prestasi keseluruhan kekal lemah dengan kejatuhan 38.4% YoY, walaupun ada sedikit daya tahan daripada Honda yang mencatatkan pertumbuhan sederhana.
Persaingan harga yang semakin sengit katanya, dijangka terus menekan margin pengeluar, apabila pemain industri berusaha mempertahankan pegangan pasaran dalam persekitaran permintaan perlahan.
"Sehubungan itu, kami masih lagi mengekalkan penarafan 'underweight' terhadap sektor automotif, dengan memberi saranan 'jual' ke atas beberapa saham utama seperti Bermaz Auto Berhad," jelasnya.
Bagi prospek 2026 kata TA Securities, TIV diunjur mencecah 750,000 unit, iaitu penurunan 8.6% YoY, mencerminkan permintaan gantian yang semakin lemah, dan penyusutan tempahan tertunggak.
Perkembangan lemah tersebut tambahnya, menggambarkan perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati, selain peningkatan jualan EV menambah tekanan terhadap struktur industri. - DagangNews.com








