KUALA LUMPUR 10 Mac — Prestasi kewangan UMediC Group Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 mencatat perolehan di bawah jangkaan pasaran susulan margin rendah daripada unjuran.
Phillip Capital berkata, keuntungan bersih teras syarikat tersebut bagi tempoh enam bulan berakhir 2026 (6MFY26) berjumlah sebanyak RM3.8 juta, meningkat hanya kira-kira 1% tahun ke tahun (YoY).
Firma penyelidikan berkenaan menambah, prestasi itu berada di bawah jangkaan pihaknya sekitar 40%, dengan keputusan kewangan berpunca daripada margin keuntungan yang lebih rendah daripada anggaran.
"Dalam tempoh sama, hasil kumpulan naik kepada RM27.6 juta, bertambah 12% YoY, didorong sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembuatan yang berkembang 19%," katanya dalam nota analisis hari ini.
Segmen pengedaran jelas Phillip Capital, meningkat 9% berikutan permintaan lebih tinggi terhadap peranti perubatan daripada hospital awam, hospital swasta dan penyedia perkhidmatan kesihatan.
Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan peluasan (EBITDA) UMediC didapati menyusut sekitar 1 mata peratusan kepada 23.8%, terjejas oleh peningkatan kos operasi.
Dari segi prestasi suku tahunan (QoQ), hasil bagi 2QFY26 merosot 5% berbanding sebelumnya, susulan sumbangan segmen pengedaran susut 17%, walaupun segmen pembuatan kukuh dengan meningkat 26%.
"Kelemahan segmen pengedaran itu berpunca akibat tempahan hospital awam yang perlahan, lazimnya terhenti sementara setiap November berikutan kitaran peruntukan tahunan," kata Phillip Capital.
Bagaimanapun, margin EBITDA meningkat 7 mata peratusan QoQ kepada 27.4% disokong campuran produk, manakala kadar cukai efektif jatuh kepada 7.5% kerana insentif dan pelunasan geran tiada bercukai.

Dalam jangka panjang tambah firma itu, prospek pertumbuhan UMediC dijangka disokong pembangunan fasiliti baharu di tapak berkeluasan 1.3 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang.
Projek kilang baharu tersebut jelas Phillip Capital, bakal memberi ruang besar kepada pengembangan kapasiti serta potensi kepelbagaian produk keluarannya dalam sektor perubatan dan sains hayat.
"Justeru, kami menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 hingga FY28 antara 14% hingga 17% selepas diambil kira andaian margin konservatif dan campuran produk kurang positif," katanya.
Firma itu turut menurunkan harga sasaran (TP) saham UMediC kepada 43 sen daripada 51 sen sebelum ini, namun mengekalkan saranan 'beli' berdasarkan unjuran 17 kali nisbah harga kepada pendapatan.
Menurut Phillip Capital, penilaian semasa saham syarikat berkenaan namun dilihat masih menarik lagi kerana didagangkan sekitar dua sisihan piawai di bawah rekod purata selama tiga tahun.
Antara pemangkin utama pertumbuhan katanya, ialah trajektori kukuh segmen pembuatan yang dijangka berkembang seiring peningkatan kapasiti pengeluaran serta permintaan global yang berdaya tahan.
"Kami namun mengingatkan risiko utama prospek UMediC termasuk kelembapan permintaan peralatan perubatan, gangguan operasi dan kehilangan lesen berkaitan perniagaan," katanya. - DagangNews.com








