KUALA LUMPUR 21 Nov - Velesto Energy Berhad mencatat prestasi 3Q25 seiring jangkaan dengan lonjakan hasil bersih RM50.2 juta, meningkat 126% suku ke suku (QoQ) dan 17% tahun ke tahun (YoY).
Dua firma penyelidikan dalam analisis mereka hari ini turut mengekalkan pandangan positif terhadap saham syarikat itu, disokong oleh dividen menarik dan prospek pengukuhan struktur penggerudian.
Maybank Investment Bank tidak mengubah saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang kekal 29 sen sesaham, yang berpaut kepada unjuran peningkatan satu kali nilai buku sesaham (BVPS) pada FY26.
"Keuntungan bersih Velesto yang dicatatkan pada tempoh 9M25 sebanyak RM125 juta walaupun susut 18% YoY, namun ia sebenarnya masih setara 75% jangkaan penuh kami tahun ini," kata firma berkenaan.
Justeru, ia menjangka kedudukan kewangan kumpulan tersebut pada suku keempat 2025 yang terus stabil, setelah merekodkan penggunaan peralatan penggerudian sejajar dengan anggaran untuk FY25.
Ini jelas Maybank IB, termasuk potensi pelantar N2 dan N6 yang sedang dirundingkan untuk kontrak jangka panjang selama dua tahun, dana akan memberi kepastian aliran tunai antara FY26 hingga FY27.
Selain itu, ia meramalkan dividen Velesto sebanyak 3 sen setahun, memberi hasil kira-kira 12% manakala aliran tunai kumpulan berkenaan dijangka meningkat kepada RM100 juta hingga RM200 juta.
"Velesto kekal sebagai pilihan utama sektor minyak dan gas (O&G) berikutan langkah gabungan dividen tinggi dan senarai kontrak jangka panjang yang sudah diperolehnya setakat ini," kata firma itu.
Artikel berkaitan: Velesto catat keuntungan RM50 juta pada 3Q25, kadar penggunaan rig naik kepada 81%
CGS International (CGSI) pula menyifatkan keuntungan bersih sembilan bulan pertama tahun ini setara 74% jangkaan FY25, didorong peningkatan struktur penggerudian pada 3Q25 daripada 57% kepada 81%.
Penurunan bayaran kadar kontrak harian (DCR) pada 3Q25 jelasnya, kerana kontrak baharu yang lebih rendah, dan mengakibatkan keuntungan teras diperoleh Velesto sepanjang 9M25 susut sebanyak 21% YoY.
Kumpulan tersebut dilihat memberi fokus strategi aset yang menawar kerja lebih daripada bilangan struktur penggerudian sendiri dan potensi sewa rig pihak ketiga, untuk memberi fleksibiliti.
"Langkah berkenaan turut berjaya memberi margin tambahan kepada syarikat dengan penggunaan pada FY26 sudah mencecah 70%, namun setakat ini hanya 42% telah dikunci," kata CGSI dalam notanya itu.
Ia berikutan rundingan untuk Naga 2, Naga 6 dan Naga 3 sedang dijalankan, tetapi ia kekal positif kerana dividen tinggi serta strategi pertumbuhan aset yang berpotensi besar. - DagangNews.com








