KUALA LUMPUR 10 Julai - Kenanga Research mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor automotif dengan jangkaan jenama nasional seperti Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Proton Holdings Bhd (Proton) akan terus mencatat prestasi kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, kedua-dua jenama itu diramal akan meningkatkan pegangan pasaran gabungan mereka kepada 64 peratus pada tahun 2025 berbanding 58 peratus pada tahun 2022 didorong oleh permintaan tinggi terhadap kenderaan mampu milik serta kecenderungan pengguna beralih kepada kereta yang lebih jimat dan praktikal.
Meskipun berdepan persaingan sengit daripada jenama bukan nasional terutama dalam segmen premium, firma itu mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 805,000 unit bagi tahun ini yang mewakili penurunan kecil sebanyak 1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Namun begitu anggaran tersebut telah melebihi unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 780,000 unit yang mewakili penurunan 4.4 peratus tahun ke tahun.
"Permintaan dijangka kekal kukuh berikutan pelancaran model baharu penangguhan pelaksanaan duti eksais baharu sehingga akhir 2025 serta trend kemampuan memiliki kereta yang lebih meluas dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah," menurut Kenanga dalam nota kajiannya.
Firma itu menjelaskan pengeluar kereta nasional semakin mendapat tempat bukan sahaja kerana harga yang kompetitif malah peningkatan dari segi spesifikasi kenderaan.
“Perodua dan Proton telah mengatasi jualan jenama bukan nasional kerana mereka kini setanding dari segi spesifikasi dan ciri seperti paparan meter digital, enjin penjimatan bahan api, kotak gear yang responsif, sistem bantuan pemandu canggih, sehingga enam beg udara dan sistem kunci keselamatan automatik.
"Selain itu, Perodua juga merancang untuk memperkenalkan tiga model baharu di bawah harga RM100,000 termasuk kenderaan elektrik (EV) pertama dan model baharu Myvi manakala Proton yang menggunakan platform Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd sedang mengorak langkah dalam pelan hala tuju EV mereka secara berperingkat sehingga tahun 2030," kata Kenanga yang turut menjangka jenama bukan nasional yang menyasarkan segmen RM100,000 ke atas bakal berdepan prospek yang lebih mencabar.
Tambahnya, syarikat-syarikat utama yang dipantau kini berdepan penyusutan nilai pasaran disebabkan persaingan sengit daripada jenama kenderaan bukan nasional serta tekanan daripada faktor luaran yang semakin mencabar.
Kenanga menyatakan beberapa jenama luar seperti BYD, Tesla, Chery, GAC dan Xpeng kini giat memperkenalkan model kereta elektrik baharu, tetapi sambutannya masih tidak menentu. Selain itu, usaha untuk memasang kereta secara tempatan, sama ada sepenuhnya (CKD) atau separa (SKD) juga masih terhad.
Firma itu turut menilai Sime Darby Bhd dan DRB-Hicom Bhd sebagai ‘underperform’ disebabkan margin keuntungan yang lemah, persaingan yang sengit dan tekanan luaran seperti kerugian dalam sektor industri dan hartanah.
Ia turut menjangkakan rasionalisasi subsidi bahan api yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini akan mempercepatkan peralihan pasaran automotif kepada dua hala dengan impak yang kecil kepada kumpulan berpendapatan rendah manakala kumpulan berpendapatan tinggi mungkin akan menangguhkan pembelian atau memilih kenderaan lebih kecil, hibrid atau elektrik.
Kenanga memilih MBM Resources Bhd dan Hong Leong Industries Bhd sebagai pilihan utama dengan harga sasaran masing-masing RM6.90 dan RM16.70.
MBM Resources pula yang merupakan pengedar dan pemegang saham utama Perodua, dijangka mendapat manfaat daripada pendapatan yang stabil disokong oleh tunggakan tempahan sebanyak 90,000 unit serta potensi keuntungan daripada pelancaran model baharu dan perubahan minat pengguna ke arah kenderaan lebih berbaloi.
Sementara itu, Hong Leong Industries dijangka meraih keuntungan daripada pertumbuhan ekonomi gig dan permintaan motosikal yang meningkat, memandangkan ia berkait rapat dengan jenama Yamaha. Jualan motosikal dijangka mencecah 700,000 unit pada tahun 2025.
Walaupun sektor automotif masih mencatat pendapatan kukuh hasil tunggakan tempahan, corak pasaran kini terbahagi dua mengikut tahap pendaatan pembeli iaitu golongan berpendapatan rendah dan tinggi. - DagangNews.com








