Permohonan pinjaman perumahan merosot ketara akibat pengguna kurang berbelanja, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan pinjaman perumahan merosot ketara akibat pengguna kurang berbelanja, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 AprilSektor hartanah negara kini berdepan dengan pelbagai tekanan termasuk antaranya jumlah permohonan pinjaman perumahan yang merosot begitu ketara, menurut MBSB Research.


Tambahnya, situasi itu disebabkan perbelanjaan pengguna semakin terhakis, selain isu kos pembinaan yang meningkat susulan kesan kenaikan harga minyak global, menjejaskan momentum dalam tempoh terdekat.


Dalam laporannya, firma penyelidikan itu mendedahkan jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah menjunam kepada RM36.6 bilion pada Februari 2026, susut 22.5% tahun ke tahun (YoY). 

 

 

 

 

 

 

 

"Ini penurunan pertama dalam tempoh tujuh bulan, serta turut merosot 30.9% bulan ke bulan (MoM), dipengaruhi faktor musim perayaan Tahun Baharu Cina, dan permulaan Ramadan," jelas MBSB Research. 


Kelulusan pinjaman juga mencatatkan penurunan kepada RM15.7 bilion (-11.6% y-o-y), selari dengan kelemahan permohonan, meskipun nisbah kelulusan meningkat kepada 42.8% berbanding 37.5% pada 2025.


Bagi tempoh dua bulan pertama 2026 ujarnya, jumlah kelulusan pinjaman meningkat sebanyak 3.6% kepada RM37.9 bilion, namun prospek kekal berhati-hati susulan jangkaan permintaan lebih perlahan.


Tambah MBSB Research, faktor kenaikan harga minyak dan diesel juga memberi tekanan secara langsung kepada kos pembinaan, kerana kelazimannya merangkumi sekitar 50% daripada keseluruhan kos projek.


"Ini dijangka menghakis margin untung pemaju, dengan analisis sensitiviti menunjukkan peningkatan kos pembinaan 10% pun boleh mengecilkan margin kasar sekitar 300 hingga 400 mata asas," ujarnya.

 

sektor hartanah_DagangNews


Pada masa sama, kemampuan pemaju untuk memindahkan kenaikan kos kepada pembeli dilihat amat terhad berikutan sentimen lemah pengguna akibat tekanan inflasi dan penyusutan pendapatan boleh guna.


Justeru jelas MBSB Research, jualan hartanah baharu dijangka merosot antara 10% hingga 15%, dan ia turut memberi amaran isu pengurangan kuota subsidi petrol RON95 berpotensi menjejaskan permintaan.


"Paling berisiko terhadap projek perbandaran di kawasan pinggir bandar, kerana kos ulang-alik yang tinggi mengurangkan minat pembeli terhadap lokasi seperti Seremban di Negeri Sembilan," katanya.


Dalam persekitaran mencabar ini, pemaju yang bergantung tinggi kepada jualan pembangunan hartanah seperti Mah Sing Group dan Matrix Concepts dijangka lebih terdedah besar kepada kelemahan pasaran.


Sebaliknya jelas MBSB Research lagi, syarikat-syarikat dengan mempunyai prospek aliran pendapatan secara berulang seperti UOA Development Berhad dilihat lebih berdaya tahan mengharungi cabaran.


Seiring situasi yang semakin sengit, firma itu mengambil pendekatan konservatif dengan mengenakan diskaun lebih tinggi terhadap penilaian syarikat hartanah, selain menilai semula penarafannya.

 

 

 

 

 

 


"Sehubungan itu, kami menurunkan saranan sektor ini kepada ‘neutral’ daripada ‘positif’, namun masih terus mengekalkan penarafan ‘beli’ terhadap saham Mah Sing dan Matrix Concepts," tambahnya.


Ia ujar MBSB Research, berikutan potensi jangka panjang, termasuk lokasi strategik berhampiran Kuala Lumpur serta pembangunan projek berskala besar seperti MVV City Centre di Negeri Sembilan.


Secara keseluruhan, sektor hartanah dijangka berdepan cabaran dalam jangka masa terdekat, dipacu peningkatan kos, permintaan lemah dan ketidaktentuan ekonomi mengekang keyakinan pembeli. - DagangNews.com