KUALA LUMPUR 30 Mac – Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang mendorong kenaikan kos minyak dan logistik kini menjadi pemangkin utama kepada permintaan minyak sawit, menurut TA Securities.
Perkembangan positif tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, sekali gus memberi kelebihan besar kepada syarikat pengeluar minyak sawit mentah (MSM) seperti Kim Loong Resources Berhad.
Katanya, situasi konflik di rantau itu turut meningkatkan daya tarikan ke atas biodiesel serta mencetuskan trend pembelian awal di pasaran Asia, yang menyokong harga MSM dalam jangka pendek.
"Dari segi prestasi, Kim Loong mencatat keputusan kewangan 4QFY26 selari jangkaan, dengan untung bersih teras naik 69.8% tahun ke tahun (YoY) kepada RM37.9 juta," kata TA Securities dalam notanya.
Keadaan berkenaan tambahnya, didorong peningkatan hasil sebanyak 14.3%, manakala bagi FY26 pula, keuntungan bersih kumulatif meningkat kepada RM169.7 juta, dan mencapai 101% unjuran firma itu.
Hasil naik 8.3% kepada RM1.8 billion, dan prestasi kukuh itu disokong keuntungan segmen perladangan yang meningkat 11.6% kepada RM157.5 juta, didorong harga tandan buah segar (TBS) yang lebih tinggi.

Segmen pengilangan kata TA Securities, mencatat pertumbuhan keuntungan 4.2% kepada RM122.2 juta walaupun harga MSM rendah, hasil daripada jumlah jualan lebih tinggi dan margin bertambah baik.
"Dalam pada itu, Kim Loong turut mengisytiharkan pembayaran dividen kedua sebanyak 6 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi keseluruhan FY26 sebanyak 14 sen sesaham," jelas firma berkenaan.
Melihat ke hadapan, pengurusan menjangka pertumbuhan pengeluaran TBS sekitar 5% bagi FY27, disokong profil pokok matang yang lebih baik dan usaha penanaman semula dipertingkatkan kepada 700 hektar.
Harga MSM pula jelas TA Securities, diunjur berada dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,500 bagi setiap tan, dengan sasaran pemprosesan mencecah sebanyak 1.6 juta tan TBS sepanjang tahun ini.
Sehubungan itu, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan FY27 dan FY28 masing-masing 3.4% dan 0.2%, sejajar dengan jangkaan pengeluaran TBS yang lebih tinggi dan harga MSM semakin kukuh.
"Di samping itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.72 sesaham, berbanding RM2.63 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 16 kali," katanya.
Menurut TA Securities, prospek Kim Loong kekal disokong asas operasi yang kukuh serta manfaat daripada persekitaran harga minyak sawit yang stabil dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








