Permintaan pasaran global lemah bagi 2QFY26 tekan prestasi VS Industry, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan pasaran global lemah bagi 2QFY26 tekan prestasi VS Industry, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 Mac – Ketidaktentuan permintaan global serta ketegangan geopolitik yang semakin memuncak kini menjadi isu kritikal yang menekan prestasi VS Industry Berhad, menurut penganalisis.


Dua firma penyelidikan berkata, ia susulan syarikat itu mencatatkan kerugian bersih teras pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) didorong pengurangan tempahan daripada pelanggan utama.


Prestasi lemah itu turut disebabkan gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos operasi, dan mencetuskan semakan turun ketara oleh firma berkenaan terhadap prospek pendapatan kumpulan.


Public Investment Bank mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menurunkan penarafan saham VS kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’, di samping menyemak turun harga sasaran (TP) kepada 27 sen.


"Syarikat ini merekodkan rugi bersih RM31 juta pada 2QFY26 berbanding untung RM7.4 juta setahun lalu, selari penyusutan hasil 15.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM769.5 juta," katanya dalam nota.


Situasi itu dipengaruhi oleh penyusutan permintaan dari pelanggan utama susulan sentimen pengguna global yang lemah, selain ketidaktentuan berkaitan dasar tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).


Kata PublicInvest, konflik di Timur Tengah juga memberi kesan, dan keputusan kewangan pada separuh pertama FY26 jauh tersasar daripada jangkaan, dengan hanya mencapai 4% daripada unjuran firma itu.


Justeru, berdasarkan perkembangan semasa tersebut, firma itu menurunkan unjuran pendapatan pada FY26 hingga FY28 sebanyak 68%, mengambil kira prospek hasil lebih rendah serta kos yang tinggi.

 

VS Industry_DagangNews


Bagaimanapun RHB Research pula berpandangan sebaliknya apabila terus mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap VS, walaupun ia turut menyemak turun TP kepada 45 sen daripada 65 sen sebelum ini.


"Walaupun keputusan 1HFY26 mengecewakan dengan kerugian bersih, penilaian semasa saham diniagakan pada paras rendah berbanding purata sejarah dilihat sudah mengambil kira banyak risiko," katanya.


Sehubungan itu, ia berpendapat, prospek jangka sederhana syarikat masih disokong oleh pengembangan operasi di Filipina serta potensi peningkatan pegangan pasaran susulan penyatuan industrinya.


Kata RHB Research, gangguan rantaian bekalan sudah diselesaikan dan operasi dijangka bertambah baik, dengan satu lagi barisan pengeluaran baharu bakal beroperasi menjelang pertengahan 2026.


Selain itu, kedudukan tunai bersih kumpulan berkenaan turut memberi daya tahan untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran, manakala kenaikan kos bahan dijangka boleh dipindahkan kepada pelanggan.


"Secara keseluruhan, kami bersetuju isu persekitaran operasi semasa VS adalah kekal mencabar dalam jangka pendek, dipacu oleh ketidaktentuan permintaan global dan faktor geopolitik," jelasnya.


RHB Research melihat potensi pemulihan didorong faktor dalaman dan penilaian saham yang menarik berbanding PublicInvest lebih berhati-hati terhadap risiko penurunan pendapatan. - DagangNews.com