KUALA LUMPUR 11 April — Tarif timbal balik meluas Amerika Syarikat (AS) jika dilaksanakan semula boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan menjejaskan permintaan minyak apabila ia berkuat kuasa sepenuhnya, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun produk berkaitan tenaga masih lagi diberikan pengecualian daripada tarif itu, langkah berkenaan tetap berpotensi boleh mencetuskan tekanan inflasi, yang menjejaskan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perindustrian.
Ia turut bertindak menurunkan purata ramalan harga minyak mentah Brent, yang dijadikan penanda aras global, untuk sepanjang tahun ini kepada AS$65 setong (bbl) (kira-kira RM288.67) tetapi mengekalkan unjuran pada 2026 kepada genap AS$70/bbl (kira-kira RM310.83).
"Ini berikutan peningkatan bekalan daripada anggota-anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum+ (OPEC+) dan potensi kelembapan dalam pertumbuhan permintaan minyak antarabangsa," kata HLIB Research dalam satu nota kajiannya.
Keputusan ditetapkan oleh blok tersebut kata firma penyelidikan berkenaan, sebagai strategi untuk mempercepatkan kenaikan pengeluaran minyak yang dirancang, bagaimanapun telah membawa pula kepada kelembapan dalam harga minyak Brent.
Firma itu menambah bahawa kontraktor operasi berpusat domestik adalah titik tumpuan dalam sektor minyak dan gas (O&G) kerana mereka sebahagian besarnya masih lagi terlindung daripada kesan situasi ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat.
“Kami menyukai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kerana mereka paling kurang terdedah kepada isu pemotongan perbelanjaan berikutan penekanan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam mengekalkan pengeluaran hidrokarbonnya," kata HLIB.
Walaupun keperluan kapal sokongan luar pesisir (OSV) lebih rendah untuk aktiviti penggerudian pada 2025, ia melihat pemain OSV akan kekal berdaya tahan tahun ini kerana aktiviti operasi yang memberangsangkan akan terus memastikan kapal itu tetap sibuk.
Syarikat yang mempunyai pendedahan dalam penerokaan dan pengeluaran huluan pada masa sama kata firma itu, boleh menyaksikan penguncupan pendapatan dalam beberapa bulan akan datang disebabkan purata harga minyak yang direalisasikan lebih rendah.
"Apabila semakan semula unjuran harga minyak mereka untuk sejajar dengan perkembangan makro, kami menjangkakan ramalan konsensus O&G yang ada pendedahan besar dalam aset huluan akan kurang kerana sensitiviti pendapatan tinggi terhadap harga minyak Brent," katanya.
Secara berasingan, HLIB Research berkata, penurunan harga minyak berkemungkinan mengakibatkan pengurangan aktiviti penerokaan medan yang baharu, dan seterusnya menurunkan permintaan untuk penggunaan pelantar cari gali di lapangan.
Firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor O&G. - DagangNews.com








