KUALA LUMPUR 21 Nov — Permintaan yang semakin meningkat bagi kerja-kerja penggantian paip air lama di seluruh negara terus mengukuhkan lagi prestasi Engtex Group Berhad pada tempoh suku ketiga 2025.
Menurut CGS International (CGSI), syarikat itu mencatat peningkatan 11% tahun ke tahun (YoY) dalam hasil kepada RM404.8 juta, manakala keuntungan bersih pula RM8.9 juta, naik 153.3% suku ke suku (QoQ).
Berdasarkan situasi tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran 71 sen sesaham, memandangkan prospek jangka sederhana bertambah positif bagi sektor berkaitan air.
"Engtex merekodkan keuntungan, selepas pelarasan hapus nilai inventori RM4.6 juta, dan mengangkat keuntungan terkumpul 9M25 kepada RM10.9 juta, sekali gus mengatasi jangkaan pasaran," katanya.
CGSI menambah, pendapatan pada 3Q25 turut mengukuh dipacu oleh segmen pembuatan menyaksikan lonjakan permintaan bagi 'wire mesh', paip besi mulur dan paip kimpalan rintangan elektrik (ERW).
Segmen itu juga menunjukkan pemulihan ketara apabila pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat mendadak kepada RM12.2 juta berbanding cuma RM0.6 juta pada 3Q24.
Margin berkembang kepada 5.7%, didorong pengeluaran tinggi, penghantaran lancar dan kos belian rendah, dengan kadar cukai kecil memberikan sokongan tambahan kepada keuntungan bersih suku itu.
"Kami menegaskan peningkatan permintaan penggantian paip air bukan fenomena sementara, sebaliknya dipacu beberapa pemangkin utama antaranya peruntukan RM13 bilion dalam Belanjawan 2026," kata CGSI.
Ia melibatkan banyak projek termasuk Langat 2, selain RM3 bilion bagi kerja penggantian paip 820 kilometer di enam negeri untuk mengurangkan pembaziran dan membuka peluang besar kepada Engtex.
Selain itu kata firma tersebut, kenaikan tarif air bermula Ogos dan September 2025 meningkatkan aliran tunai operator air di negeri-negeri, yang mempercepatkan kelulusan pembiayaan penggantian paip.
Syarikat berkenaan kata CGSI, turut memiliki banyak kontrak sedia ada berjumlah RM65 juta dan RM24 juta daripada Air Selangor, serta aktif dalam meneroka pelbagai projek mega berpotensi bernilai RM1.1 bilion.
"Kesemuanya memerlukan bekalan paip baharu dan kami melihat Engtex sebagai penerima manfaat utama kerana kedudukannya sebagai pengeluar paip dan komponen air dominan di pasaran," jelas firma itu.
Dengan peningkatan pesanan yang dijangka berlaku secara berterusan memasuki FY26, syarikat itu dijangka mencatat pemulihan lebih kukuh hasil daripada perkembangan leveraj operasi yang tinggi.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan ada banyak risiko antaranya harga keluli yang merosot dan kelewatan penganugerahan projek infrastruktur air boleh menjejaskan pertumbuhan. - DagangNews.com








