Perdagangan Malaysia kekal stabil walaupun berdepan kelembapan global, kata Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan Malaysia kekal stabil walaupun berdepan kelembapan global, kata Affin Hwang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — Prospek perdagangan Malaysia masih bersedia kekal berdaya tahan di sebalik kelembapan pertumbuhan ekonomi global, menurut Affin Hwang Investment Bank.
 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan isu kelembapan dunia, Malaysia dijangka mengekalkan momentum ekonominya dengan unjuran pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025.
 

Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada 3.1 peratus pada 2025 dan 3.0 peratus pada 2026, berbanding anggaran awal sebanyak 3.3 peratus.
 

"Tinjauan perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh pengembangan industri yang berterusan dan permintaan dalam negeri yang stabil," katanya dalam satu nota kajian.
 

Secara kumulatif, jumlah eksport Malaysia meningkat sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun (YoY), dan import meningkat sebanyak 5.9 peratus YoY, yang membawa kepada pengembangan 4.4 peratus dalam jumlah perdagangan.
 

Bagaimanapun, Affin Hwang memberi amaran bahawa pasaran eksport utama negara mungkin terjejas teruk oleh persekitaran ekonomi dunia yang tidak menggalakkan dalam kalangan negara-negara anggota G20.
 

"Halangan perdagangan yang lebih tinggi dalam beberapa ekonomi G20, ditambah dengan ketidaktentuan dasar yang semakin meningkat, dijangka menjejaskan pelaburan perniagaan dan perbelanjaan isi rumah," katanya.
 

Ekonomi Eropah pula tambah firma penyelidikan itu, diunjurkan berkembang kepada hanya 1.0 peratus pada 2025, manakala pertumbuhan China dijangka perlahan kepada 4.8 peratus.
 

Kelompok G20 terdiri daripada 19 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Indonesia, United Kingdom dan Brazil, serta blok Kesatuan Eropah (EU).
 

Affin Hwang namun berkata, pada Februari 2025, eksport Malaysia berkembang 6.2 peratus YoY, iaitu peningkatan ketara daripada sebanyak 0.3 peratus pada Januari 2025.
 

Ia berkata prestasi eksport dirangsang oleh permintaan kukuh daripada AS, dengan eksport didapati melonjak kepada 28.9 peratus YoY, meningkat berbanding 28.1 peratus pada Januari.
 

"AS kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama bagi eksport Malaysia, khususnya dalam elektronik dan jentera manakala Eksport ke ASEAN pulih, meningkat 8.2 peratus YoY, selepas penguncupan 1.3 peratus pada Januari," katanya.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan berkenaan disebabkan terutamanya oleh faktor penghantaran produk elektrik dan elektronik yang lebih kukuh.
 

Bagaimanapun, eksport ke China merosot 8.1 peratus YoY pada Februari 2025, menandakan penguncupan bulan kedua berturut-turut selepas kejatuhan 3.9 peratus pada Januari.
 

"Kelembapan ekonomi China terus menjejaskan permintaan bagi pelbagai barangan Malaysia, khususnya komoditi dan produk perindustrian," kata firma berkenaan.
 

Sementara itu, jumlah import Malaysia meningkat 5.5 peratus YoY pada Februari 2025, mengekalkan momentum positif berikutan peningkatan 6.2 peratus pada Januari 2025.
 

Daripada jumlah ini, import barangan modal terus menunjukkan kekuatan, berkembang sebanyak 35.3 peratus YoY dan menandakan tiga bulan berturut-turut pertumbuhan dua angka. - DagangNews.com