Perbelanjaan sektor swasta sumbang 62% kepada KDNK Malaysia bagi suku pertama 2026 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan sektor swasta sumbang 62% kepada KDNK Malaysia bagi suku pertama 2026 – DOSM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Mei – Perbelanjaan penggunaan akhir swasta (PFCE) yang menyumbang kira-kira 61.6% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terus menjadi pemacu utama kekuatan ekonomi Malaysia.


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peranan sektor itu membolehkan negara mencatat pertumbuhan 5.4% pada suku pertama 2026 meskipun momentum keseluruhan mula sederhana.


Menurut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PFCE didapati berkembang positif kira-kira 4.7% dengan disokong oleh faktor perbelanjaan tinggi dalam sektor pengangkutan serta restoran dan hotel.


"Ekonomi negara pula lebih perlahan berbanding 6.2% pada suku keempat 2025, dengan KDNK susut daripada 6.8% pada Januari 2026 kepada 5.2% (Februari) dan 4.1% (Mac)," jelas beliau dalam kenyataan.


Secara keseluruhan ujar Mohd Uzir, ekonomi Malaysia terus berkembang pada 1Q26, mencerminkan daya tahan asas ekonomi serta keadaan pertumbuhan stabil dalam persekitaran global yang mencabar.


Katanya, penyaluran tunai kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) namun tetap berperanan.


Inisiatif itu jelasnya, dilihat membantu meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, selain disokong pelaksanaan fasa kedua kenaikan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).


"Aktiviti perbelanjaan bersempena Tahun Baharu Cina, dan Hari Raya Aidilfitri turut memacu sektor perkhidmatan khususnya perdagangan runcit, makanan dan minuman serta penginapan," kata Mohd Uzir.

 

Artikel berkaitan: Ekonomi Malaysia catat 5.4% pada suku pertama 2026 masih kukuh disokong permintaan domestik - BNM

 

BNM DOSM
MOHD UZIR Mahidin (kanan) menunjukkan dokumen Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2026 bersama-sama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour di Kuala Lumpur.

 

Sektor tersebut juga tambahnya, kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dengan peningkatan 5.6%, disokong subsektor perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.


Sementara subsektor maklumat dan komunikasi pula didapati berkembang kukuh sebanyak 8.1% dengan dirangsang permintaan tinggi terhadap pendigitalan, pengkomputeran awan dan pusat data (DC).


Sektor pembuatan jelas Mohd Uzir, berkembang 5.9% dengan subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal naik 12.8%, mencerminkan permintaan global kekal kukuh terhadap cip dan komponennya.


"Pada masa sama, DOSM mendapati sektor pembinaan di Malaysia mencatat pertumbuhan kira-kira 7.7% dengan dipacu oleh aktiviti bangunan bukan kediaman dan kerja pertukangan khas," tambah beliau.


Bagaimanapun ujarnya lagi, sektor perlombongan dan pengkuarian pula menguncup sebanyak 2.1% akibat pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli yang lebih rendah sepanjang tiga bulan tersebut.


Pelaburan negara yang diukur melalui Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) turut berkembang kukuh sebanyak 7.3% manakala eksport bersih kembali tumbuh 13.5% selepas menguncup pada suku sebelumnya.


Mohd Uzir berkata, pertumbuhan eksport sebanyak 5.2% dan penyederhanaan pertumbuhan import kepada 4.6% membantu memperbaiki imbangan perdagangan negara walaupun ketidaktentuan global berterusan.


DOSM turut mengumumkan semakan semula data KDNK tahunan 2023 hingga 2025 masing-masing 3.6%, 5.2% dan 5.2% berdasarkan data pentadbiran selaras piawaian statistik antarabangsa. - DagangNews.com