Perang tarif Trump ancam peranan Inari dalam rantaian bekalan Apple - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perang tarif Trump ancam peranan Inari dalam rantaian bekalan Apple - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April — Inari Amertron Berhad berkemungkinan terjejas oleh ketidaktentuan rantaian bekalan dan permintaan elektronik pengguna global yang disebabkan perang tarif perdagangan dicetuskan Amerika Syarikat (AS), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma tersebut berkata, walaupun Inari tidak akan terjejas secara langsung oleh pengenaan tarif timbal balik oleh kerajaan AS ke atas import Malaysia, syarikat itu namun memainkan peranan penting berkaitan dalam rantaian bekalan frekuensi radio untuk Apple Inc.


Ia susulan pengumuman tarif timbal balik oleh Presiden AS, Donald Trump yang mengenakan tarif masing-masing sebanyak 34 peratus dan 27 peratus ke atas China dan India. Kedua-dua negara itu adalah tapak pemasangan utama Apple untuk jenama telefon pintar utamanya.


"Dengan kadar tarif efektif yang dikenakan ke atas China kini berjumlah 66 peratus, kami percaya Apple akhirnya boleh melepaskan kos ini untuk jangka sederhana hingga panjang sama ada kepada pengguna atau pembekal hiliran," katanya dalam satu nota kajian.


Inari kata firma tersebut, merupakan bahagian penting dalam rantaian bekalan dan menyumbang lebih daripada 70 peratus pengujian produk berteknologi cip untuk pembekal frekuensi radio utama Apple yang berpangkalan di California, AS.


Segmen frekuensi radio pula kata Maybank IB, menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 66 peratus direkodkan daripada keseluruhan perolehan kumpulan Inari pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25).


Tarif timbal balik itu katanya, namun tidak memberi kesan langsung ke atas Inari kerana jualan frekuensi radionya ditempah melalui anak syarikatnya di Singapura sebagai pembekal, tetapi percaya bahawa perang perdagangan global meningkatkan risiko permintaan akhir Apple.


"Ditambah dengan kemerosotan jualan iPhone di China pada masa ini ekoran persaingan semakin sengit daripada jenama domestiknya dan halangan pengawalseliaan teknologi kecerdasan buatan, Inari berpotensi mengalami pemuatan isi padu lebih rendah pada 1HFY26," katanya.


Maybank IB menambah bahawa langkah Apple menekan pembekalnya pada harga bergerak ke hadapan sebagai usaha mempertahankan marginnya agar kekal sebagai risiko utama untuk Inari dalam iklim makro yang semakin tidak menentu.


Firma tersebut bagaimanapun mengekalkan saranan "pegang" ke atas saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran yang diunjurkan lebih rendah iaitu RM2 sesaham. - DagangNews.com