Peralihan Tenaga Kian Pesat, Pelaburan Trilion Dolar Pacu Perubahan Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peralihan Tenaga Kian Pesat, Pelaburan Trilion Dolar Pacu Perubahan Global

Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir, Terengganu

KUALA LUMPUR 30 April - Usaha peralihan tenaga di seluruh dunia terus berkembang pesat walaupun dalam persekitaran geopolitik yang semakin kompleks, dengan pelaburan dianggarkan mencecah AS$3.3 trilion (kira-kira RM13 trilion) pada tahun lepas.

 

Menurut Energy Watch, pertumbuhan tenaga bersih didorong oleh tumpuan yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan kemampuan tenaga, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tonggak pembangunan negara yang praktikal dan berdaya tahan.

 

Menerusi artikel bertajuk “Global Outlook: A New Energy Reality Takes Shape in 2026,” laporan itu menyatakan faktor pelaksanaan peralihan tenaga kini tidak lagi semata-mata bergantung kepada matlamat iklim jangka panjang, sebaliknya turut didorong keperluan untuk beroperasi dengan yakin dalam persekitaran tenaga yang semakin berpecah dan berdaya saing.

 

“Berbanding hanya memberi tumpuan kepada sasaran iklim jangka panjang, kerajaan kini lebih menekankan pembangunan industri kritikal, memperkukuh keupayaan domestik serta menjamin pekerjaan masa depan, di samping mengurus pelbagai risiko saling berkaitan yang semakin meningkat,” menurut laporan itu.

 

Secara keseluruhannya, perkembangan ini menandakan fasa peralihan tenaga yang lebih tertumpu kepada pelaksanaan pada 2026, yang ditentukan oleh keupayaan, kesediaan serta kemampuan untuk bersaing dalam landskap yang berkembang pesat.

 

Energy Watch memaklumkan hala tuju perubahan semakin jelas, didorong oleh trend utama seperti kecerdasan buatan (AI), daya tahan grid tenaga serta persaingan tenaga hijau yang semakin meningkat dalam menentukan pelaburan, dasar dan daya saing.

 

Keseimbangan tenaga dan AI

AI muncul sebagai pemacu utama dalam sektor tenaga seiring peningkatan permintaan elektrik yang didorong oleh pertumbuhan pusat data, perkhidmatan awan dan infrastruktur digital.

 

Anggaran menunjukkan permintaan elektrik daripada pusat data boleh meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030 kepada kira-kira 945 terawatt jam, dengan Amerika Syarikat dan China mencatat permintaan tertinggi, diikuti negara-negara Asia termasuk Asia Tenggara.

 

Walaupun tenaga penting untuk AI, teknologi itu turut memainkan peranan besar dalam mengubah cara sistem tenaga diuruskan dengan meningkatkan kecekapan, kebolehramalan serta prestasi keseluruhan.

 

Sebagai syarikat utiliti elektrik terbesar di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di barisan hadapan dalam transformasi ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad berkata AI telah digunakan dalam operasi syarikat itu termasuk bagi penyenggaraan jangkaan, pengimbangan beban serta ramalan cuaca.

 

“Sinergi ini turut diketengahkan dalam Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran TNB yang akan datang, bertemakan ‘Tenaga dan AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga’,” katanya.

 

ETCon26 berteraskan tiga tonggak utama iaitu Tenaga untuk AI, AI untuk Tenaga serta Peralihan Tenaga untuk Rakyat, yang mencerminkan kebergantungan tinggi antara sistem tenaga dan teknologi digital.

 

Pelaburan rangkaian tenaga lebih tahan lasak

Energy Watch menegaskan bahawa walaupun AI semakin penting dalam sektor tenaga, ia turut memberi tekanan besar kepada kapasiti penjanaan elektrik serta infrastruktur grid yang tidak berkembang seiring dengan kepantasan perubahan.

 

Sistem grid elektrik konvensional yang direka untuk aliran tenaga berpusat dan sehala kini semakin tidak sesuai dengan keperluan sistem moden yang perlu mengendalikan sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang berubah-ubah serta aliran tenaga pelbagai arah.

 

Sehubungan itu, pelaburan global kini tertumpu kepada naik taraf grid, pendigitalan sistem serta penyelesaian penyimpanan tenaga.

 

Keperluan kepada infrastruktur yang lebih fleksibel dan berdaya tahan turut meningkat berikutan risiko perubahan iklim ekstrem, ketidaktentuan geopolitik serta ancaman keselamatan siber.

 

“Pelaburan tenaga akan terus memberi keutamaan kepada naik taraf transmisi, pendigitalan grid dan teknologi storan pada 2026.

 

“Kira-kira AS$21 trilion (kira-kira RM83 trilion) diperlukan bagi menaik taraf grid menjelang 2050 untuk membina rangkaian yang lebih fleksibel dan berdaya tahan,” menurut laporan itu.

 

“Walaupun jumlah ini besar, kos tidak bertindak adalah jauh lebih tinggi, dianggarkan sekitar AS$38 trilion (kira-kira RM150 trilion) setahun,” tambahnya.

 

Usaha menuju penyahkarbonan

Dalam masa sama, persaingan dalam rantaian bekalan tenaga bersih semakin meningkat apabila negara berlumba mendapatkan pelaburan, mineral kritikal dan kapasiti pembuatan.

 

Peralihan tenaga kini berkembang menjadi strategi ekonomi dan perindustrian utama, bukan sekadar agenda alam sekitar.

 

“Kerajaan melaksanakan dasar perindustrian seperti insentif cukai, subsidi dan langkah perdagangan bagi memperkukuh industri domestik serta menjamin rantaian bekalan,” menurut Energy Watch.

 

Peralihan ini mencerminkan usaha memperkukuh daya saing nasional dalam teknologi tenaga bersih, di samping memastikan bekalan tenaga yang stabil, mampu milik dan selamat.

 

Laporan itu turut menyatakan peningkatan permintaan elektrik serta ketidaktentuan pasaran mendorong kerajaan mengimbangi keutamaan antara keselamatan tenaga, kemampuan kos dan sasaran penyahkarbonan.

 

“Campuran tenaga pada 2026 menunjukkan pendekatan lebih pragmatik, menggabungkan TBB dengan kapasiti asas, storan dan sumber peralihan, dengan faktor kemampuan kos mempengaruhi kadar peralihan terutama di negara membangun,” menurutnya.

 

Tumpuan serantau: ASEAN perkukuh integrasi tenaga

Negara-negara turut menyesuaikan strategi berdasarkan kedudukan sumber masing-masing. Di Asia Tenggara, fokus semakin diberikan kepada penyambungan rangkaian elektrik merentas sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG), selain usaha menyelaraskan rangka kerja kawal selia serta membolehkan perdagangan elektrik berskala besar.

 

Perkembangan penting turut dicatat pada Januari 2026 apabila TNB menandatangani perjanjian tiga pihak dengan utiliti di Laos dan Thailand bagi membolehkan bekalan TBB dihantar ke Singapura.

 

Menurut Energy Watch, langkah itu mencerminkan momentum yang semakin kukuh ke arah kerjasama tenaga serantau yang lebih mendalam.

 

Menjelang 2026, fokus peralihan tenaga kini beralih daripada persoalan sama ada untuk beralih kepada bagaimana ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, apabila keputusan berkaitan pelaburan grid, pengurusan permintaan, strategi industri serta kerjasama serantau menjadi penentu daya tahan dan daya saing jangka panjang.

 

“Tahun ini memberi peluang penting untuk menterjemahkan momentum semasa kepada kelebihan yang mampan melalui tindakan terkoordinasi serta pelaksanaan yang konsisten,” menurut laporan itu. - BERNAMA