KUALA LUMPUR 7 Feb - Perak Corporation Bhd menjalinkan kerjasama dengan Spectrum Asets Sdn Bhd bagi melaksanakan projek pembangunan bercampur di atas tanah dua lot tanah dengan gabungan keluasan 22.08 hektar di Kinta, Perak.
Kumpulan itu berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada mereka untuk membuka kunci potensi nilai aset tanahnya menerusi perkongsian strategik dengan Spectrum Asets.
Katanya, ia menggabungkan sumber, kepakaran, dan keupayaan pembiayaan kedua-dua pihak bagi memudahkan pelaksanaan cadangan pembangunan bersama dengan meningkatkan nilai tanah dan mewujudkan aliran hasil yang mampan untuk mereka.
"Perkongsian itu selaras dengan strategi Perak Corp bagi mengoptimumkan penggunaan aset dan meneruskan inisiatif pembangunan bersama untuk menjana manfaat ekonomi jangka panjang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kerjasama itu tertakluk kepada perjanjian usaha sama atau mana-mana perjanjian serupa (JVA) yang dipersetujui Perak Corp dan Spectrum Asets berhubung pelaksanaan dan pelaksanaan pembangunan bersama.
Kumpulan itu berkata, jalinan Kerjasama itu bagaimanapun idak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham tetapi tertakluk kepada penandatanganan JVA yang membentuk perjanjian muktamad untuk pelaksanaan cadangan pembangunan itu.
"Pelaksanaan Kerjasama itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham, pendapatan sesaham, gearing, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar bagi syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," katanya. - DagangNews.com








