KUALA LUMPUR 28 Okt – Perak mencatatkan bilangan projek Tenaga Suria Berskala Besar (LSS) tertinggi di Semenanjung Malaysia, dengan 28 projek yang mempunyai kapasiti sebanyak 1,441.3 megawatt (MW).
Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 6% daripada sasaran tenaga hijau negara menjelang 2035.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kedudukan ini meletakkan Perak sebagai penyumbang utama ke arah sasaran Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (REC) negara sebanyak 23,000 MW, atau 40% daripada kapasiti nasional menjelang 2035, di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
"Sehingga 31 Ogos 2025, Kerajaan, melalui Suruhanjaya Tenaga, telah menganugerahkan 117 projek LSS dengan kapasiti 6,028 MW dari LSS 1 hingga LSS 5+," katanya menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai kemajuan LSS di Perak dan sumbangannya kepada sasaran REC negara, semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menambah, kesinambungan program itu sedang dijalankan melalui LSS 6, yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, melibatkan pelaburan swasta sekitar RM6 bilion untuk menjana hampir dua gigawatt (GW) tenaga suria.
"Usaha ini dijangka meningkatkan kapasiti REC melebihi 10GW di Semenanjung menjelang 2030, selaras dengan sasaran 70% tenaga boleh baharu menjelang 2050," jelasnya.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi mengenai jaminan bahawa kos menaik taraf grid dan sistem simpanan tenaga tidak akan membebankan rakyat, Akmal Nasrullah memberi jaminan bahawa peralihan kepada tenaga hijau tidak akan menyebabkan kenaikan tarif elektrik.
"Sebaliknya, ia akan membuka peluang pekerjaan dan penyertaan untuk kontraktor tempatan di negeri-negeri yang terlibat. - BERNAMA








