KUALA LUMPUR 26 Mac – SCA Solutions Bhd, penyedia perkhidmatan pengudaraan bangunan, keselamatan kebakaran dan rawatan air memfailkan permohonan untuk disenaraikan di Pasaran ACE bagi mengumpul dana untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.
Syarikat itu berhasrat untuk menubuhkan pejabat korporat baharu bagi subsidiari rawatan air, pusat logistik dan gudang, pejabat jualan dan pemasaran, serta sebuah pusat operasi di Kapar, Selangor bagi menampung pertumbuhan perniagaannya.
Berdasarkan draf prospektus yang diterbitkannya, ia menyatakan cadangan untuk memindahkan operasi rawatan air ke hartanah seluas hampir 30,000 kaki persegi di Kapar yang dibeli pada April 2025 dengan harga RM11 juta dan kini sedang dibaikpulih.
Beroperasi di Petaling Jaya, SCA Solutions mengkhususkan dalam sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) serta sistem keselamatan kebakaran.
Syarikat itu juga menyediakan sistem rawatan air untuk bangunan, yang menyumbang kurang daripada 10 peratus daripada pendapatan tahun terkini.
Syarikat itu kini diketuai oleh Pengarah Urusan Tan Cheng Eng dan Pengarah Eksekutif Liong Chian Leek, kedua-duanya adalah jurutera mekanikal yang mendapat Pendidikan di United Kingdom.
Permohonan tawaran awam permulaan itu melibatkan penawaran awam saham baharu serta penjualan saham sedia ada oleh Tan dan Liong dalam SCA Solutions.
Tawaran itu akan membolehkan pelabur memiliki sehingga 30 peratus dalam syarikat dengan harga yang akan ditentukan kemudian. SCA Solutions mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.78 juta daripada jumlah hasil RM61.63 juta pada 2024.
Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO ini.
Langkah ini dijangka akan menyokong rancangan pengembangan SCA Solutions dalam memperkukuh kehadirannya dalam pasaran HVAC, keselamatan kebakaran dan rawatan air di Malaysia. - DagangNews.com








