KUALA LUMPUR 10 April – Pentech Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Public Investment Bank Berhad (PublicInvest) bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Di bawah perjanjian tersebut, PublicInvest akan menaja jamin sebanyak 62.0 juta saham daripada keseluruhan terbitan awam sebanyak 171.995 juta saham baharu yang mewakili 27.74 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan Pentech selepas penyenaraian.
PublicInvest turut bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan, yang menjadi sebahagian daripada langkah Pentech untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Secara keseluruhan, Pentech merancang untuk mempunyai 620 juta saham dalam modal terbitan diperbesarkan selepas penyenaraian di Pasaran ACE.
Daripada jumlah saham baharu yang ditawarkan, 31 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 31 juta saham lagi dikhususkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Selain itu, sebanyak 32.495 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala 77.5 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pentech Holdings Berhad merupakan syarikat berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terlibat dalam integrasi infrastruktur ICT perniagaan, pembekalan perkakasan dan perisian, serta penyediaan perkhidmatan awan, pengurusan sistem dan transformasi digital.
Syarikat itu berkata, hasil IPO akan digunakan untuk memperkukuh operasi termasuk pembinaan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) di Kuala Lumpur bagi memantau dan menangani ancaman siber secara masa nyata.
Selain itu, dana berkenaan turut akan digunakan untuk menaik taraf Pusat Kawalan Operasi (OCC), memperluaskan perkhidmatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan unit keselamatan siber baharu, selain keperluan modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Pentech berkata, langkah penyenaraian ini dijangka memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri ICT tempatan yang sedang berkembang pesat, khususnya dalam bidang keselamatan siber dan perkhidmatan digital perniagaan.
PublicInvest pula menyifatkan Pentech sebagai pemain ICT yang mempunyai asas perniagaan kukuh serta rekod operasi lebih 20 tahun, dan yakin syarikat itu berupaya memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor teknologi di Malaysia selepas disenaraikan. - DagangNews.com








