Pentamaster teroka potensi pasaran opto-fotonik menerusi kerjasama tiga negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pentamaster teroka potensi pasaran opto-fotonik menerusi kerjasama tiga negara

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Sept – Pentamaster Corporation Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Pentamaster Innoteq Sdn. Bhd. (PISB) telah menandatangani perjanjian pelaburan dengan Ahead Optoelectronics, Inc. dari Taiwan dan JC Capital Limited (Cayman) dalam usahasama baharu meneroka pasaran opto-fotonik, sejajar dengan strategi peluasan kumpulan dalam teknologi canggih.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata melalui perjanjian yang dimeterai pada 4 September 2025, PISB akan melabur sebanyak AS$3 juta (kira-kira RM12.69 juta) dalam syarikat usahasama yang baharu ditubuhkan, iaitu Ahead Optoelectronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (AHEAD), sekali gus memiliki 14.29% kepentingan dalam syarikat tersebut.

 

Dalam masa yang sama, JC Capital Limited (JCC) akan melabur sehingga AS$3 juta dalam AHEAD menerusi terbitan Nota Boleh Tukar. 

 

Selepas pencapaian syarat-syarat terdahulu oleh AHEAD, syarikat itu akan distruktur semula melalui terbitan saham baharu bernilai sehingga AS$21 juta (sekitar RM88.8 juta), dalam fasa yang dikenali sebagai Investment Completion.

 

"Pelaburan berjumlah AS$3 juta ini dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman Kumpulan," katanya.

 

Menurut Pentamaster, pelaburan ini merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan Pentamaster untuk mempelbagaikan operasi ke dalam pasaran teknologi lanjutan, khususnya dalam segmen opto-elektronik dan silikon fotonik, selari dengan Kerangka Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) yang diperkenalkan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dalam bidang pembungkusan lanjutan dan peralatan pembuatan canggih.

 

Katanya, pasaran interkoneksi silikon fotonik dijangka mencatat pertumbuhan tahunan terkumpul melebihi 20% dari 2025 hingga 2030, dengan nilai pasaran meningkat daripada AS$2.65 bilion pada 2025 kepada AS$9.65 bilion menjelang 2030. 

 

Permintaan ini dijangka melonjak selari dengan kemajuan cip AI generasi baharu yang mensasarkan kelajuan sambungan sehingga satu terabait sesaat.

 

“Usaha sama ini akan memacu keupayaan teknologi kumpulan ke hadapan dan membolehkan kami menembusi pasaran yang sedang berkembang pesat,” jelas Pentamaster lagi.

 

Teknologi silikon fotonik semakin diterima secara meluas sebagai penyelesaian kepada sambungan optik bagi menggantikan sambungan berasaskan tembaga tradisional di pusat data dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Kelebihan utama silikon fotonik adalah keserasiannya dengan teknologi elektronik berasaskan silikon sedia ada, yang membolehkan integrasi komponen fotonik dan elektronik dalam satu cip silikon yang sama.

 

Saiz pasaran global silikon fotonik dianggarkan sebanyak AS$1.29 bilion pada 2022 dan dijangka mencecah AS$8.13 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 25.8% dari 2023 hingga 2030. 

 

Permintaan terhadap teknologi ini didorong oleh keperluan untuk kadar pemindahan data lebih tinggi serta aplikasi yang memerlukan lebar jalur tinggi.

 

Pentamaster berkata, pelaburan baharu ini tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham Pentamaster memandangkan ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham baharu oleh syarikat.

 

Kesan kewangan ke atas kumpulan pula dijangka tidak material, di mana ia tidak akan memberi impak ketara terhadap pendapatan sesaham (EPS), aset bersih sesaham (NAV) mahupun nisbah hutang kepada ekuiti (gearing) Pentamaster bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Selain itu, pelaburan ini juga tidak akan mengubah struktur pemegangan saham utama dalam Pentamaster, memandangkan tiada penerbitan saham baharu yang terlibat. - DagangNews.com