Pentamaster dijangka terima tempahan baharu susulan penambahan kilang di China & India – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pentamaster dijangka terima tempahan baharu susulan penambahan kilang di China & India – AmInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac – AmInvestment Bank mengekalkan pandangan positif terhadap saham Pentamaster Corporation Berhad dengan menaikkan harga sasaran kepada RM3.90 sesaham, atau potensi pulangan 32% dari harga semasa RM2.97. 

 

Firma penyelidikan itu berkata saham syarikat teknologi automasi tersebut kini dilihat lebih menarik selepas harga sebelumnya mencatatkan penurunan, menjadikan penilaian lebih mencerminkan potensi pertumbuhan masa depan.

 

AmInvest berkata berkata pemulihan utama dijangka didorong oleh segmen telekomunikasi, khususnya pelaburan China dan penambahan satu lagi negara iaitu India yang bakal menghasilkan pesanan besar pada separuh kedua 2026. 

 

“Projek baharu "9 Samurai" juga dilihat sebagai sumber pertumbuhan tambahan menjelang 2027, termasuk teknologi silicon photonics dan semikonduktor kuasa untuk pusat data AI,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.

 

Pentamaster menjana pendapatan daripada pelbagai sektor termasuk telekomunikasi, elektronik pengguna, automotif, semikonduktor dan perubatan. 

 

Keupayaan syarikat menyediakan mesin mengikut tempahan dan spesifikasi tertentu menjadikan pelanggan lebih setia yang menjanjikan margin premium. 

 

AmInvest berkata pendapatan Pentamaster dijangka meningkat daripada RM583.7 juta pada 2025 kepada RM841.2 juta pada 2028, manakala keuntungan bersih teras dijangka naik daripada RM61 juta kepada RM99.5 juta dalam tempoh sama.

 

AmInvestment turut menegaskan risiko yang perlu dipertimbangkan, termasuk pergantungan pada pelanggan besar, pendedahan kepada industri peranti perubatan dan semikonduktor, serta kesan perubahan nilai mata wang USD/MYR terhadap keuntungan syarikat.

 

Dengan harga saham kini lebih menarik berbanding potensi pertumbuhan jangka panjang, AmInvestment mengekalkan cadangan beli bagi Pentamaster, dengan penekanan terhadap prospek syarikat dalam menyertai permintaan teknologi automasi dan AI yang semakin berkembang.- DagangNews.com