KUALA LUMPUR 12 Mei – Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melantik Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, Madelena Mohamed sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 1 Mei 2026.
Pelantikan itu dibuat untuk memperkukuh struktur lembaga pengarah syarikat dengan kepakaran luasnya dalam bidang institusi kewangan, dasar awam serta tadbir urus strategik dan kelestarian.
Pengerusi CGC, Mohammed Hussein berkata pengalaman Madelena dijangka menyokong peranan CGC dalam memperkukuh akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selaras dengan agenda pembangunan negara serta matlamat kestabilan kewangan jangka panjang.
Di BNM, Madelena menjalankan tanggungjawab merangkumi fungsi strategi dan kelestarian termasuk aspek perundangan, komunikasi strategik serta Pejabat Gabenor.
Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pembangunan sektor kewangan, penilaian kestabilan kewangan, penggubalan dasar serta pengurusan krisis kewangan di peringkat nasional.
CGC memaklumkan bahawa Madelena turut menganggotai lembaga pengarah CGC Digital Sdn Bhd selain menjadi ahli lembaga Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
“Pelantikan tersebut juga dibuat susulan peletakan jawatan Suhaimi Ali yang berkuat kuasa pada 30 April 2026 selepas berkhidmat dalam lembaga pengarah sejak April 2022.
“CGC merakamkan penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti Suhaimi sepanjang tempoh perkhidmatannya yang banyak membantu memperkukuh hala tuju dan tadbir urus syarikat,” katanya.
Pelantikan Madelena dilihat sebagai langkah strategik CGC dalam memperkukuh keupayaan institusi itu untuk terus menyokong pembangunan PMKS serta memperkukuh ekosistem pembiayaan negara. - DagangNews.com








