KUALA LUMPUR 9 Jun — VS Industry Berhad dijangka mencatatkan penyusutan kemajuan untuk pelbagai projek baharu disebabkan situasi tarif Amerika Syarikat (AS) yang akan menyebabkan peningkatan risiko operasi, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, sebahagian besar projek berkenaan melibatkan kontrak daripada pelanggan utamanya selain ia masih lagi menjangkakan pemerolehan pendapatan yang berkurangan melalui sumbangan besar perniagaan kumpulan itu sendiri di Filipina.
Ia berkata, isu ketidaktentuan tarif AS kemungkinan besar akan menjadi penghalang kepada perkembangan positif beberapa projek terkini syarikat tersebut tetapi firma berkenaan tidak menjangkakan berlaku penyusutan atau peningkatan pendapatan secara mengejut.
"Risiko terbalik pula ialah sumbangan hasil lebih kukuh daripada jangkaan diterima menerusi operasi VS Industry di Filipina selain pelupusan operasi yang merugikan di China, dan kejayaan pelbagai projek baharu selepas ini," kata HLIB Research dalam satu nota kajiannya.
Bagaimanapun tambahnya, kumpulan itu masih ada risiko menurun disebabkan pelaksanaan lemah dalam pelancaran operasi dan seretan margin daripada operasi baharu Filipina, penurunan pesanan oleh pelanggan yang sedia ada, serta pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
Ia mengambil sikap lebih berhati-hati kerana kumpulan itu memperoleh kira-kira 40 peratus hasil FY24 daripada pasaran AS, menerusi empat pelanggan utama terbesar, serta mereka memasarkan antara 25 peratus hingga 90 peratus produk pengguna ke negara berkenaan.
Walaupun tarif import timbal balik semasa 10 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia oleh AS mungkin kelihatan terurus, risiko peningkatan gangguan rantaian bekalan terletak pada potensi kenaikan tarif import setelah tamat tarikh akhir penangguhan 90 hari pada 9 Julai 2025.
"Berdasarkan pertemuan kami baru-baru ini dengan pengurusan, VS Industry merujuk banyak penarikan pesanan daripada pelanggan utama sebelum tarikh akhir, dan keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran dikekang oleh kadar perolehan bahan dan komponen," kata HLIB Research.
Berdasarkan keadaan tersebut, firma itu menurunkan saranan ke atas kumpulan berkenaan daripada 'tambah' kepada 'pegang' dengan harga sasaran yang lebih rendah iaitu 88 sen disebabkan kekhuatiran pertumbuhan lemah projek baharu dan ketidaktentuan tarif AS. - DagangNews.com








