KUALA LUMPUR 26 Nov – Sarawak Oil Palms (SOP) dijangka mencatat keuntungan suku keempat 2025 (4QFY2025) yang lebih baik berbanding 3QFY2025 berikutan peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) pada Oktober dan November, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, peningkatan itu dijangka dapat membantu menampung kelemahan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang berlaku pada suku ketiga terutamanya disebabkan pengurangan pembelian FFB dari sumber luar.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pengeluaran FBB dijangka meningkat, harga purata jualan (ASP) bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) mungkin menjadi faktor penyeimbang.
“Dengan harga yang sederhana, margin keuntungan mungkin tidak melonjak secara drastik, namun peningkatan FFB dijangka menyumbang kepada pulangan yang lebih stabil bagi SOP,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Selain itu, RHB Research menjangkakan kos seunit bagi pengeluaran CPO mungkin menurun sedikit pada suku keempat, berikutan peningkatan jumlah pengeluaran.
“Kos yang lebih rendah ini dijangka menyokong margin operasi, setelah mencatat peningkatan kos pada 9MFY25 akibat pengeluaran yang lebih rendah,” katanya.
Secara keseluruhan, RHB mengekalkan pandangan positif terhadap SOP dengan jangkaan suku keempat mampu menyeimbangkan prestasi tahunan syarikat.
Dengan prospek pengeluaran yang meningkat, kos yang lebih terkawal dan harga ASP yang stabil, SOP terus dilihat sebagai pelaburan yang berdaya tahan.
Justeru, RHB Research mengekalkan saranan Beli bagi saham SOP dengan harga sasaran baharu RM4.15. SOP turut dijangka membayar dividen FY25F sebanyak MYR0.12 sesaham, mencerminkan nisbah pembayaran teras 32%.

Sementara itu, Maybank Inventment Bank pula berkata, keuntungan teras bersih (core PATMI) SOP bagi sembilan bulan pertama 2025 (9M25) mencapai RM314 juta, meningkat 2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan memenuhi 76% daripada anggaran FY25E.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan suku ketiga (3QFY25) sebanyak RM106 juta mencatat penurunan 16% berbanding suku yang sama tahun lalu, disebabkan pengeluaran FFB yang lebih rendah sebanyak 6% YoY, pembinaan inventori yang masih tinggi serta sumbangan segmen hiliran (downstream) yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, impak ini sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan harga jualan produk minyak sawit sebanyak 6% YoY dan 4% QoQ.
“Bagi pengeluaran FFB, SOP mencatat 0.92 juta tan bagi 9MFY25, atau hanya 70% daripada ramalan tahunan kami,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Walaupun Maybank IB menjangkakan hasil SOP akan memuncak pada suku keempat, firma itu telah menurunkan jangkaan pengeluaran FFB pada FY25E, FY26E dan FY27E masing-masing sebanyak 4%, yang kini menjangkakan pertumbuhan FFB sebanyak +1% pada FY25E, +5% pada FY26E, dan +3% pada FY27E.
Maybank IB berkata, segmen hiliran SOP turut mencatat keuntungan kecil pada 3Q25, walaupun margin penapisan lemah, manakala segmen biodiesel terus memberikan margin yang stabil, selaras dengan mandat biodiesel negeri Sarawak.
SOP juga mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 8 sen, yang membawa syarikat lebih hampir kepada sasaran membayar sekurang-kurangnya 15 sen bagi FY25E.
Dengan baki tunai bersih yang kukuh sebanyak RM1.28 bilion, SOP kini diniagakan pada 8x FY25E PER, 0.8x PBV dan EV/ha kira-kira RM27,520.
Berdasarkan penilaian ini, Maybank mengekalkan saranan Beli, menjadikan SOP sebagai antara pilihan utama saham SMID cap di Bursa Malaysia.
Selain daripada prospek positif ini, Maybank turut menekankan risiko yang perlu diperhatikan, termasuk kemungkinan cuaca yang menjejaskan pengeluaran, harga MSM yang lebih rendah daripada jangkaan, polisi import yang negatif, serta persaingan daripada minyak sawit dan minyak lain. - DagangNews.com








