Peningkatan pelaburan pusat data diramal pacu perolehan MN Holdings sehingga FY27, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan pelaburan pusat data diramal pacu perolehan MN Holdings sehingga FY27, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mac – Lonjakan pelaburan dalam sektor pusat data (DC) di Malaysia terus membuka peluang kontrak baharu kepada pemain rumusan infrastruktur tenaga seperti MN Holdings Berhad.


Bagaimanapun menurut penganalisis, risiko kelewatan pelaksanaan projek dan ketidaktentuan luaran dikenal pasti masih menjadi sebagai faktor kritikal yang perlu diberi perhatian oleh pelabur.


Ini susulan pengumuman kumpulan itu bahawa anak syarikatnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd, menerima tender bernilai RM216 juta bagi projek pembinaan pencawang pusat DC di Zon Selatan.


Antaranya, firma penyelidikan Phillip Capital yang menilai kontrak tersebut sebagai positif kerana terus memperkukuhkan keterlihatan pendapatan MN Holdings dalam tempoh dua tahun yang akan datang.


"Projek itu menjadikan nilai kontrak baharu tahun ini mencecah RM500 juta, bersamaan 71% daripada andaian pengisian semula buku tempahan FY26 sebanyak RM700 juta," katanya dalam analisis hari ini.


Sementara buku tempahan belum dilaksana pula tambahnya, kini meningkat kepada kira-kira RM1.1 bilion, yang memberi keterlihatan pendapatan kukuh ke atas kumpulan berkenaan sehingga FY27.


Justeru Phillip Capital menganggarkan projek tersebut berpotensi menyumbang RM22 juta keuntungan selepas cukai (PAT) sepanjang FY26 hingga FY27 dengan andaian margin untung bersih sekitar 10%.


Tambahnya, projek DC kini merangkumi 52% daripada keseluruhan buku tempahan MN Holdings, dan menonjolkan peranan syarikat dalam pembangunan infrastruktur tenaga bagi sektor berkembang pesat.
 

Artikel berkaitan: MN Holdings peroleh kontrak RM216 juta bina pencawang elektrik untuk pusat data di Zon Selatan
 

MN


"Selain itu, prospek pengisian kontrak baharu kekal kukuh dengan tender RM2.9 bilion, meliputi antaranya projek berkaitan Tenaga Nasional Berhad (49%), DC (25%), serta solar (12%)," jelasnya.


Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.37, bersandarkan penilaian 20 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi pendapatan sesaham 2026.


Sementara itu, Maybank Investment Bank turut melihat kemenangan kontrak tersebut sebagai pemangkin positif yang mengukuhkan momentum pengisian kontrak MN Holdings dalam tempoh jangka sederhana.


Firma penyelidikan itu berkata kontrak baharu tersebut meningkatkan jumlah kontrak dimenangi tahun ini kepada RM476.2 juta, hampir 95% daripada jangkaan awal pengisian kontrak sebanyak RM500 juta.


“Kemenangan projek ini menaikkan buku tempahan terkumpul syarikat berkenaan kepada RM1.1 bilion, sekali gus terus menyokong momentum pendapatan sehingga separuh pertama FY27,” tambahnya lagi.


Berikutan momentum kontrak yang kukuh daripada unjuran, Maybank IB menaikkan andaian pengisian kontrak MN Holdings kepada RM990 juta bagi FY26, RM1 bilion bagi FY27 dan RM1.2 bilion bagi FY28.


Pelarasan anggaran tersebut menyebabkan firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan bagi FY26 hingga FY28 antara kira-kira 7% hingga mencecah sebanyak 44%.


Walaupun penilaian diturunkan sedikit kepada 17 kali PE purata tiga tahun bagi mengambil kira ketidaktentuan luaran, ia menaikkan TP kepada RM2.47 daripada RM2.39 dan mengekalkan syor 'beli'.


"Kami menyifatkan MN Holdings sebagai antara pilihan utama dalam segmen syarikat sederhana di bursa, disokong rekod prestasi kukuh dalam projek berkaitan utiliti," jelasnya. - DagangNews.com