KUALA LUMPUR 25 Mac — Sektor penjagaan kesihatan diramal berdepan dengan cabaran peningkatan kos operasi, risiko perubahan dasar serta tekanan penilaian yang semakin mahal, menurut RHB Research.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, secara keseluruhan industri sektor berkenaan masih lagi kekal sebagai pelindung yang stabil dalam persekitaran ketidaktentuan global dan tekanan inflasi.
Berdasarkan situasi semasa, ia mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu, dengan pilihan utama terdiri daripada KPJ Healthcare Berhad, LAC Med Berhad dan Duopharma Biotech Berhad.
"Walaupun penilaian semasa dilihat tinggi berbanding purata sejarah, keadaan tersebut mencerminkan penarafan semula struktur aset penjagaan kesihatan Malaysia," kata RHB Research dalam notanya.
Firma penyelidikan berkenaan merujuk perkembangan kukuh beberapa pemain sektor penjagaan kesihatan berfokus domestik yang kini sudah menikmati premium lebih besar berbanding rakan pasaran serantau.
Musim laporan kewangan suku keempat 2025 menyaksikan prestasi kukuh, dengan KPJ Healthcare dan Duopharma mencatat keputusan melebihi jangkaan, manakala LAC Med dan IHH Healthcare dalam unjuran.
Susulan itu, RHB Research menaikkan harga sasaran (TP) KPJ Healthcare kepada RM3.79 berbanding RM3.37, didorong jangkaan pertumbuhan intensiti hasil serta kadar cukai efektif yang lebih rendah.
"Pada masa sama, IHH Healthcare diturunkan taraf kepada 'neutral' daripada 'beli' dan kami turut menekankan jurang penilaian semakin melebar antara kumpulan itu dengan KPJ Healthcare," katanya.

Jelasnya, KPJ Healthcare memiliki premium 13.4%, disokong daya tahan domestik kukuh menghadapi tekanan inflasi global serta pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan margin kasar yang lebih tinggi.
Kumpulan tersebut tambah RHB Research, berada pada tahap intensiti hasil yang lebih rendah, namun mempunyai potensi peningkatan ketara apabila pelan pusat kecemerlangan (COE) semakin matang.
Justeru, firma penyelidikan itu berpandangan KPJ Healthcare kekal sebagai pilihan utama sektor berkenaan didorong tiga pemacu utama, antaranya pendedahan rendah kepada pelancongan perubatan.
"Selain itu, ia meraih manfaat limpahan daripada insurans kesihatan dan takaful (MHIT), serta strategi meningkatkan rawatan berkompleksiti tinggi yang menawarkan margin lebih baik," katanya.
Sementera itu, LAC Med dijangka mendapat manfaat daripada kitaran perbelanjaan modal (capex) dalam infrastruktur kesihatan negara, manakala Duopharma memasuki 2026 dengan asas yang lebih kukuh.
RHB Research namun memberi amaran prospek sektor ini masih terdedah beberapa risiko termasuk peningkatan kos operasi melebihi jangkaan, serta jumlah pesakit lebih rendah daripada unjuran.
Di samping itu, pergerakan mata wang asing turut menjadi faktor penting, kerana kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan negatif kepada pendapatan luar negara IHH Healthcare.
"Bagaimanapun, pada masa sama situasi berkenaan turut memberi kelegaan kos kepada Duopharma melalui aktiviti import bahan aktif farmaseutikal (API)," kata firma tersebut. - DagangNews.com








