Peningkatan kos disebabkan konflik Timur Tengah ancam prospek sektor pengguna – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kos disebabkan konflik Timur Tengah ancam prospek sektor pengguna – MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April – Risiko kenaikan kos akibat konflik Timur Tengah kini menjadi ancaman utama kepada sektor pengguna, meskipun permintaan domestik kekal kukuh disokong inflasi yang terkawal.


MBSB Research mengekalkan penarafan ‘positif’ terhadap sektor pengguna, namun memberi amaran isu tekanan kos tenaga, logistik dan bahan mentah boleh menjejaskan margin pemain industri tempatan.


Menurut firma penyelidikan itu, jualan runcit di Malaysia naik 7.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM70.07 bilion pada Februari 2026, mencerminkan prospek permintaan pengguna yang masih berdaya tahan.


"Walaupun terdapat sedikit penyederhanaan secara bulanan (MoM), secara kumulatif, perbelanjaan runcit bagi dua bulan pertama 2026 berkembang 6.8% kepada RM140.25 bilion," katanya dalam nota.


Pertumbuhan sektor itu ujar MBSB Research, disokong oleh kedai tidak khusus yang meningkat 10.4% YoY, diikuti makanan dan minuman (F&B) yang naik 7.8% YoY, serta kedai khusus lain (+7.4% YoY).


Pada masa sama jelasnya, sektor tersebut didorong kadar pengangguran yang kekal rendah pada 2.9%, manakala inflasi utama menyederhana kepada 1.4%, memberikan sokongan kepada kuasa beli isi rumah.


Firma itu namun memberi peringatan isu tekanan kos luaran, khususnya berkaitan tenaga dan rantaian bekalan global, boleh mula memberi kesan kepada inflasi domestik dalam tempoh yang akan datang.

 

pengguna_DagangNews

 

"Trend kos input F&B pula adalah bercampur, dengan harga koko, gula dan kopi jatuh yang memberi kelegaan kos, tetapi minyak sawit mentah (MSM) dan resin naik menekan margin," kata MBSB Research.


Selain itu tambah firma penyelidikan tersebut, kos makanan ternakan seperti kacang soya dan jagung meningkat akibat tekanan geopolitik, sekali gus menambah beban kepada pengeluar ayam dan telur.


Bagaimanapun ujarnya, nilai ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)banyak membantu mengurangkan kos import, dan penyusutan bulanan menunjukkan ketidaktentuan masih wujud.


Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna, didorong oleh permintaan domestik yang stabil, sokongan fiskal kerajaan, dan potensi aktiviti pelancongan.


"Kami menjangka tekanan margin boleh meningkat sekiranya konflik berpanjangan menolak harga minyak lebih tinggi, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan, pembungkusan dan baja," jelasnya lagi.


Dalam persekitaran itu katanya, saham berorientasi nilai dijangka bertahan, dengan pilihan utama Leong Hup International Berhad, MR DIY Group (M) Berhad dan 99 Speedmart Retail Holdings Berhad.


Ia menambah, segmen keperluan asas diunjur kekal stabil, manakala pemain barangan bukan keperluan mungkin berdepan tekanan permintaan jika kos sara hidup terus meningkat. - DagangNews.com