KUALA LUMPUR 30 Mei — Prospek keuntungan IHH Healthcare Berhad diramal masih lagi berdepan dengan risiko tinggi untuk terjejas pada suku akan datang disebabkan oleh pelbagai cabaran peningkatan kos, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun terdapat potensi kukuh permintaan penjagaan kesihatan dan strategi pengembangan yang teguh, ia berpendapat kumpulan itu pasti tetap menghadapi cabaran keseluruhan industri.
Antara risiko keburukan berterusan itu katanya, ialah faktor pertambahan kos operasi dan kakitangan serta perubahan dasar awam dalam sektor penjagaan kesihatan swasta yang boleh mempengaruhi prestasi hasil IHH Healthcare.
"Kumpulan itu juga berdepan dengan tekanan pembayaran balik tuntutan daripada banyak syarikat insurans swasta dan awam serta halangan geopolitik yang dijangka memberi cabaran," kata MIDF Research dalam satu nota kajiannya.
Bagaimanapun, firma itu percaya kumpulan tersebut memiliki keupayaan untuk mengharungi pelbagai masalah semasa dan mengekalkan kecekapan dengan memanfaatkan aspek kecemerlangan klinikal serta model penjagaan inovatif.
Ia berdasarkan keupayaannya meningkatkan keuntungan bersih pada suku pertama tahun kewangan 2025 berakhir 31 Mac sebanyak lima peratus kepada RM425 juta dengan hasilnya turut melonjak 5.7 peratus kepada RM6.3 bilion.
Prestasi positif tersebut menurut firma penyelidikan itu, disumbangkan daripada pasaran di negara ini dan India serta masih lagi dalam jangkaannya untuk setahun penuh sebanyak 23.2 peratus dan konsensus pula 21.7 peratus.
MIDF Research namun tidak membuat perubahan anggaran hasil IHH Healthcare pada ketika ini dan mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran kumpulan berkenaan tidak berubah kepada RM8.18 sesaham. - DagangNews.com








