KUALA LUMPUR 26 Mac — Kenaikan kos bahan binaan dan ketidaktentuan pemberian projek kekal menjadi risiko utama sektor pembinaan, namun Kumpulan Kitacon Berhad terus menunjukkan momentum positif.
Menurut analisis CGS International (CGSI), perkembangan tersebut berikutan kumpulan itu berjaya meraih kontrak baharu bernilai RM99 juta melibatkan pembangunan kediaman bertanah di Cyberjaya.
Tender berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, bagi projek ParkCity Botanika oleh ParkCity Botanika Sdn Bhd, sekali gus menandakan kemasukan klien baharu berprofil tinggi bagi syarikat itu.
"Kerja dijadual bermula 2 Mei 2026 dan siap dalam tempoh 24 bulan, dengan kami menganggarkan margin keuntungan kasar sekitar 15%, sejajar dengan prestasi Kitacon sebelumnya," kata firma itu.
CGSI menyifatkan kemenangan kontrak ini sebagai signifikan memandangkan ParkCity Group terkenal dengan pembangunan premium seperti Desa ParkCity, sekali gus mengurangkan isu risiko pembayaran.
Lebih penting, projek ParkCity Botanika yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM7.3 bilion berpotensi menjadi sumber kontrak secara berulang kepada kumpulan itu dalam jangka panjang.
Berdasarkan anggaran firma berkenaan, sekiranya Kitacon memperoleh sebanyak 5% hingga 10% daripada segmen kediaman, ia boleh menjana peluang kontrak tambahan antara RM360 juta hingga RM720 juta.
"Setakat Mac 2026, jumlah kontrak baharu yang diperoleh mencecah RM190 juta, meletakkan syarikat itu di landasan tepat mencapai sasaran sebanyak RM900 juta bagi tahun kewangan 2026," kata CGSI.
Kemenangan terbaharu ini tambahnya, turut meningkatkan lagi buku tempahan kumpulan kepada RM1.66 bilion, bersamaan 2.1 kali hasil FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh.

Pada masa sama jelas firma penyelidikan tersebut, buku tender berjumlah RM1.5 bilion menyediakan saluran pengisian projek yang sihat, dengan 45% daripadanya melibatkan potensi ramai klien baharu.
Kitacon juga kata CGSI, dilihat semakin aktif dalam mempelbagaikan portfolio ke arah projek bukan kediaman yang menyumbang kira-kira 55% daripada kontrak FY25 berbanding hanya 17% pada FY24.
"Kami berpandangan projek bukan kediaman secara kelazimannya berskala lebih besar dan mempunyai tempoh siap lebih pantas, sekali gus menyokong peningkatan pendapatan kumpulan itu," ujarnya lagi.
Selain itu tambah firma berkenaan, pembangunan bandar utama seperti Elmina, Bandar Bukit Raja dan ParkCity Botanika dijangka terus menjadi pemangkin kepada aliran kontrak berulang untuk kumpulan.
Sehubungan itu, berdasarkan kepada perkembangan positif itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham Kitacon dengan harga sasaran (TP) RM1.26 berdasarkan model pertumbuhan Gordon (GGM).
Saham tersebut kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 7 kali bagi unjuran 2026, lebih rendah berbanding purata sektor 13 kali, mencerminkan penilaian yang menarik.
"Selain itu, kami turut menekankan potensi pemangkin kenaikan ke atas kumpulan pembinaan ini termasuk kemenangan lebih banyak projek industri dan peningkatan prestasi pendapatan," katanya.
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko penurunan kekal wujud sekiranya berlaku kelewatan penganugerahan projek serta kenaikan kos bahan mentah yang boleh menjejaskan margin keuntungan.
Secara keseluruhan, CGSI melihat Kitacon berada dalam kedudukan baik memanfaatkan momentum positif sektor hartanah, disokong asas operasi kukuh dan strategi pengembangan klien. - DagangNews.com








