KUALA LUMPUR 18 Mac — Kenaikan kos bahan api global susulan ketidaktentuan geopolitik dijangka memberi tekanan tinggi kepada pemain sektor tenaga, termasuk YTL Power International Berhad.
Bagaimanapun menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), kumpulan itu masih bertahan kerana mempunyai perlindungan yang kukuh melalui pelbagai mekanisme lindung nilai dan perjanjian kontrak.
Firma itu menambah, pendedahan terhadap risiko kenaikan kos bahan api lebih tertumpu kepada aset kumpulan di Singapura melalui PowerSeraya, Jordan (Attarat Power) dan Indonesia (Java Power).
"Operasi di Singapura sebahagian besarnya dilindungi melalui aktiviti lindung nilai bahan api bagi komitmen kontrak, sekali gus mungkin mengurangkan impak kenaikan kos jangka pendek," jelasnya.
Peningkatan harga bahan api global namun dijangka mendorong peningkatan harga elektrik pasaran borong dan runcit di Singapura, selaras dengan struktur pasaran negara tersebut yang terbuka.
Situasi negatif berkenaan kata HLIB, boleh menyebabkan turun naik margin YTL Power dalam jangka pendek, dan ia menjangkakan margin runcit PowerSeraya hanya akan mula stabil menjelang 2027.
Sementara itu, bagi operasi kumpulan tersebut di Jordan, Attarat Power masih dilindungi daripada turun naik harga global kerana menggunakan sumber bahan api sendiri daripada lombong minyak syal.

"Begitu juga operasi Java Power di Indonesia yang dilindungi melalui mekanisme pemindahan kos bahan api di bawah rangka perjanjian pembelian tenaga (PPA)," kata firma penyelidikan tersebut.
Walaupun terdapat risiko geopolitik akibat konflik di rantau Timur Tengah, HLIB berkata pegangan 45% YTL Power dalam projek Attarat Power disokong oleh rakan kongsi serta pembiaya dari China.
Keadaan itu jelasnya, mengurangkan risiko gangguan langsung kepada YTL Power, manakala projek tersebut dianggarkan menyumbang antara RM300 juta hingga RM350 juta setahun kepada kumpulan.
Firma berkenaan turut menjelaskan bahawa pendedahan tidak langsung wujud bagi operasi utiliti air di Britain serta pusat data (DC) di Malaysia yang mungkin berdepan dengan kos elektrik lebih tinggi.
"Namun begitu, impak ini dijangka dapat diimbangi melalui langkah pelarasan asas aset terkawal (RAB) dan mekanisme pemindahan kos kepada pelanggan yang dilaksanakan kumpulan," tambah HLIB.
Dalam pada itu katanya, projek solar berskala besar berkapasiti 218MWp milik YTL Power yang akan beroperasi menjelang pertengahan 2026 depa diramal mengurangkan kebergantungan kepada grid.
Firma penyelidikan itu yakin, usaha berkenaan menyumbang positif kepada pendapatan bermula 2027, dan ia turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah RM5.08.
Jelas HLIB, berdasarkan konsensus pasaran, saham syarikat tenaga tersebut kini menerima 10 saranan 'beli' dan lima 'pegang' dengan TP secara purata ialah RM4.16 sesaham. - DagangNews.com








