Peningkatan kos akibat konflik geopolitik dikhuatiri jejaskan pemulihan sektor pembuatan – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kos akibat konflik geopolitik dikhuatiri jejaskan pemulihan sektor pembuatan – TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 April – Tekanan kos yang semakin memuncak serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik kini menjadi isu kritikal yang menjejaskan pemulihan sektor pembuatan Malaysia.


Menurut TA Securities, prestasi Indeks Pengurus Pembelian (PMI) mula menunjukkan tanda pengukuhan semula pada Mac 2026, apabila meningkat kepada 50.7 mata berbanding 49.3 mata pada Februari 2026.


Tambah firma penyelidikan tersebut, data terkini PMI diterbitkan S&P Global menunjukkan aktiviti pembuatan di Malaysia kembali melepasi paras neutral 50 mata dan menandakan pengembangan sektor.


"Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan pengeluaran kukuh dan terpantas sejak Disember 2021, dengan permintaan lebih baik selain peningkatan kecil pengambilan pekerja," jelasnya dalam nota.


Bagaimanapun kata TA Securities, tekanan inflasi meningkat ketara apabila kos pengangkutan, tenaga dan bahan mentah pula melonjak, sebahagian besarnya berpunca daripada konflik di Timur Tengah.


Ujarnya, inflasi kos naik pada kadar terpantas sejak Oktober 2024, manakala harga 'output' kini di paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan apabila pengeluar terpaksa memindahkan kos kepada pengguna.


Pada masa sama, permintaan keseluruhan menunjukkan kelembapan sederhana dengan tempahan baharu merosot untuk bulan kedua, dan permintaan eksport susut buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan.


"Keadaan kali ini menyebabkan pengurangan aktiviti pembelian untuk julung kali dalam masa sembilan bulan, selain berdepan tekanan rantaian bekalan yang semakin ketara," tambah TA Securities.

 

sektor pembuatan_DagangNews


Situasi ini kata firma penyelidikan berkenaan, termasuk isu kekurangan bilangan kontena dan tempoh penghantaran barang yang lebih panjang, serta dianggap sebagai rekod paling buruk sejak Mei 2022.


Mengulas prospek masa hadapan, ia berkata, PMI secara purata bagi suku pertama 2026 berada pada 50.1, mencerminkan aktiviti pembuatan yang stabil dan sejajar dengan prestasi suku sebelumnya.


Berdasarkan hubungan sejarah PMI dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bacaan itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi 5.5%, selari unjuran TA Securities iaitu 5.4% tahun ke tahun (YoY) bagi 1Q26.


"Risiko luaran pada ketika ini namun semakin cenderung ke arah trend penurunan, dipacu faktor ketidaktentuan global khususnya konflik geopolitik yang dilihat terus berlarutan," kata firma itu.


Sentimen perniagaan bagi tempoh setahun akan datang turut diramal merosot ke paras paling rendah dalam tujuh bulan, sekali gus mencerminkan kebimbangan terhadap permintaan masa hadapan.


Walaupun masih berdepan dengan pelbagai cabaran semasa, TA Securities terus kekal berhati-hati optimistik terhadap sektor pembuatan, menerusi unjuran pertumbuhan sekitar 4.4% bagi 2026.


Prospek ini disokong kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E), khususnya didorong permintaan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), serta perbelanjaan isi rumah yang kekal berdaya tahan.


"Kami mengekalkan unjuran KDNK bagi 2026 pada 4.7%, dengan tumpuan kini beralih kepada anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia yang dijadualkan pada 17 April 2026," katanya. - DagangNews.com