Peningkatan ketara harga saham TSH Resources mula mengehadkan potensi kenaikan, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan ketara harga saham TSH Resources mula mengehadkan potensi kenaikan, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 April – Kenaikan harga saham TSH Resources Berhad yang ketara kebelakangan ini dilihat mula mengehadkan potensi kenaikan selanjutnya, menurut analisis MBSB Research hari ini.


Justeru firma itu menurunkan penarafan kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’, namun mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM1.36 sesaham, dengan kebanyakan pemangkin jangka pendek diambil kira dalam penilaian.


Menurutnya, asas perniagaan kumpulan perladangan tersebut dilihat adalah kekal kukuh, dengan profil risiko dan ganjaran kini lebih seimbang susulan lonjakan harga saham syarikat berkenaan baru-baru ini.


"TSH sedang mengukuhkan kedudukannya di Kalimantan, Indonesia melalui strategi yang melibatkan pengoptimuman aset sedia ada dan pengembangan ladang baharu," kata MBSB Research dalam notanya.


Ini termasuk pengambilalihan PT Dinamika Alam Segar (DAS) dengan keluasan boleh tanam sekitar 787 hektar serta PT Katingan Mitra Sejati (KMS) dengan keluasan tanah lebih besar iaitu 9,842 hektar.


Langkah berkenaan yang membabitkan nilai keseluruhan RM36.3 juta, membolehkan integrasi operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan menyokong pembentukan kluster estet lebih tersusun.


Tambah MBSB Research, lokasi aset baharu yang kebetulan berhampiran dengan ladang sedia ada TSH sendiri memberi kelebihan dari segi logistik dan kecekapan operasi dalam tempoh jangka panjang.


"Ladang PT DAS terletak 40 kilometer dari kilang sedia ada, membolehkan tandan buah segar (TBS) diproses secara dalaman sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga," jelasnya.


Artikel berkaitan: TSH Resources beli PT Dinamika Alam Segar dan Konsep Majureka berjumlah RM36.3 juta


Pada masa sama, pengembangan melalui PT KMS dijangka meningkatkan keluasan kawasan sekitar kepada 6,000 hektar, sekali gus mengukuhkan justifikasi pembinaan kilang sendiri pada masa depan.


MBSB Research turut menekankan yang ketika ini, sebahagian besar TBS kumpulan berkenaan perlu dihantar sejauh lebih 160 kilometer untuk diproses, dan menyebabkan kos logistik yang tinggi.


Sehubungan itu, pengambilalihan ini membuka ruang kepada pembangunan kilang baharu yang dekat dengan ladang, serta berpotensi mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan margin operasi.


"Selain itu, jarak penghantaran lebih pendek juga dijangka meningkatkan kecekapan tuaian TBS serta akan mengurangkan kehilangan hasil minyak sawit mentah (MSM)," tambah firma penyelidikan tersebut.


Dari segi kewangan kata MBSB Research, kesan kepada keuntungan jangka pendek TSH dijangka minimum kerana sebahagian besar kawasan masih di peringkat pembangunan awal dan belum menjana pendapatan.


Bagaimanapun, dalam jangka sederhana, keluasan boleh tanam dijangka meningkat kira-kira 11% kepada 42,000 hektar, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan apabila usia ladang tersebut matang.


Firma itu menambah, pengambilalihan tersebut dibiayai penuh melalui dana dalaman tanpa memberi kesan ketara kepada kedudukan hutang, memandangkan syarikat berada dalam kedudukan tunai bersih.


"Kami berpandangan strategi pengembangan TSH mampu memperkukuh asas operasi, namun penilaian semasa harga saham mengehadkan ruang kenaikan dalam tempoh terdekat," katanya. - DagangNews.com