Peningkatan harga akibat gangguan stok diramal tidak lama, RHB Research kekal saran ‘jual’ PETRONAS Chemicals | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan harga akibat gangguan stok diramal tidak lama, RHB Research kekal saran ‘jual’ PETRONAS Chemicals

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mac – Lonjakan harga petrokimia susulan gangguan stok global dijangka tidak lama, mendorong RHB Research mengekalkan saranan ‘jual’ ke atas PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG). 


Bagaimanapun, firma itu menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kumpulan berkenaan untuk tempoh 12 bulan yang akan datang kepada RM3.85 berbanding hanya RM2.54 ditetapkan sebelum ini.


Menurutnya, peningkatan harga produk petrokimia akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan gangguan logistik hanya memberikan sokongan jangka pendek kepada prestasi syarikat tersebut.


“Kami melihat isu ini sebagai bersifat sementara, dengan andaian konflik diselesaikan dalam tempoh empat hingga enam minggu, diikuti normalisasi harga minyak mentah,” katanya dalam nota kajian.


RHB Research meramalkan harga petrokimia dijangka kekal tinggi selama kira-kira dua bulan selepas itu berikutan kelewatan rantaian bekalan, sekali gus menyokong pendapatan jangka pendek PCG.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menganggarkan pendapatan kumpulan sekitar RM313 juta dalam tempoh terdekat, disokong harga segmen baja dan metanol (F&M) yang masih lagi stabil.
 

Petronas

 

Selain itu, ia turut menyemak semula unjuran kerugian bersih teras bagi FY26 kepada RM396 juta berbanding RM709 juta sebelum ini, mengambil kira peningkatan ‘jurang’ dalam suku kedua 2026.


"Segmen F&M PCG berada dalam kedudukan baik berbanding pesaing kerana gas domestik sebagai bahan mentah, sekali gus kurang terdedah kepada turun naik harga minyak global," kata RHB Research.


Pemulihan segmen olefin dan derivatif (O&D) namun jelas firma penyelidikan tersebut, dijangka lebih perlahan berikutan permintaan polimer di pasaran global yang dikenal pasti masih lemah.


“Walaupun ‘jurang’ meningkat dalam jangka pendek, kami menjangkakan ia akan kembali normal apabila keadaan bekalan stabil, sekali gus mengehadkan potensi peningkatan penilaian saham,” jelasnya.


Susulan itu, RHB Research hanya menaikkan TP berdasarkan 0.9 kali unjuran nilai buku pada FY26, tetapi firma tersebut mengekalkan pandangan negatif terhadap prospek jangka sederhana kumpulan.


Analisis sensitiviti pula menunjukkan prestasi PCG bergantung kepada tahap harga petrokimia dan tempoh gangguan bekalan, dengan potensi keuntungan tinggi hanya berlaku jika berlarutan lama.


Ia turut memberi amaran antara risiko utama termasuk permintaan global lemah daripada jangkaan, pemulihan ‘jurang’ yang lebih perlahan serta kelemahan nilai ringgit. - DagangNews.com