KUALA LUMPUR 17 April – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik cadangan peningkatan kadar adunan biodiesel negara daripada B10 kepada B15 secara berperingkat yang dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti pengeluar biodiesel tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan peningkatan adunan itu dilihat mampu membantu industri biodiesel negara yang selama ini beroperasi di bawah kapasiti pengeluaran sebenar sejak Program Biodiesel Negara diperkenalkan.
“Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia mempunyai kelebihan untuk memanfaatkan sumber tempatan melalui peluasan Program Biodiesel Negara bagi memperkukuh sekuriti tenaga negara.
“Program Biodiesel Negara telah dilaksanakan sejak 2011 bermula dengan B5, sebelum dinaikkan kepada B7 pada 2014 dan B10 pada 2019, seterusnya diperluaskan kepada B20 secara berfasa bermula 2020 di beberapa kawasan terpilih.
“Ketika ini, pelaksanaan B20 melibatkan sektor pengangkutan di Langkawi, Labuan dan Sarawak kecuali Bintulu, manakala sektor industri telah melaksanakan adunan B7 sejak Julai 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Peningkatan adunan daripada B10 kepada B15 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, dengan menggunakan infrastruktur sedia ada.
Menurut kementerian itu, penggunaan infrastruktur pengadunan sedia ada membolehkan pelaksanaan dibuat dengan lebih efisien tanpa keperluan pelaburan tambahan yang besar.
Berdasarkan anggaran, pengeluaran minyak sawit mentah negara adalah sekitar 18 hingga 20 juta tan setahun, manakala penggunaan bagi penghasilan biodiesel pada kadar B15 dianggarkan sekitar 0.80 juta tan.

Jumlah itu hanya meningkat sekitar 0.267 juta tan berbanding B10, sekali gus tidak memberi tekanan kepada bekalan minyak sawit domestik.
Noraini berkata standard kualiti biodiesel Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan selamat digunakan tanpa menjejaskan prestasi enjin kenderaan.
“Pada masa sama, peluasan penggunaan biodiesel dijangka membantu mengoptimumkan perbelanjaan subsidi bahan api serta menyokong kestabilan industri sawit negara.
“Peningkatan adunan biodiesel ini adalah langkah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan krisis tenaga global,” katanya. - DagangNews.com








