KUALA LUMPUR 22 Mei — Pengurus-pengurus dana luar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan 24 peratus daripada keseluruhan hasil pelaburan tabungan itu sebanyak RM74.46 bilion pada 2024.
KWSP berkata, perkembangan positif itu merupakan rekod kerana pada 2023, kumpulan pengurus dana luar tersebut membawa masuk sebanyak 22 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburannya.
Tambah dana persaraan itu, pengurus-pengurus dana luar bertanggungjawab dalam menguruskan 17 peratus, atau RM213.21 bilion, daripada RM1.25 trilion jumlah aset pelaburan KWSP pada 2024.
"Pada tahun itu, ekuiti menyumbang dua pertiga hasil pelaburan KWSP, dengan 29 peratus datang daripada instrumen pendapatan tetap, yang ada pulangan 4.27 peratus," katanya dalam kenyataan.
KWSP pada 1 Mac 2025 mengumumkan kadar dividen setara sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua caruman dalam Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, yang berjumlah RM73.24 bilion.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira RM63.05 bilion disalurkan KWSP kepada pencarum Simpanan Konvensional, manakala baki sebanyak RM10.19 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, prestasi kukuh itu menyerlahkan kerja berpasukan antara KWSP dan pengurus-pengurus dana luarnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran pasaran.
Mereka berjaya dalam memberikan nilai jangka panjang kepada jutaan pencarum dan beliau turut menekankan tumpuan KWSP terhadap aspek inovasi melalui kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Dana tersebut juga tambah beliau, akan bersama-sama dalam mengutamakan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memastikan pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.
KWSP turut menganugerahkan 12 pengurus dana luar yang berprestasi tinggi antaranya ialah Nomura Asset Management yang memenangi Pengurus Dana Ekuiti Luaran dan Global Terbaik.
Sementara itu, BNP Paribas Asset Management Malaysia meraih pulangan pelaburan (ROI) Ekuiti Terbaik, manakala unit Syariahnya memenangi Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Shariah).
Franklin Templeton pula memenangi Pengurus Dana Ekuiti Domestik Terbaik (Konvensional) dan Nomura Islamic Asset Management memenangi ROI pendapatan tetap terbaik. - DagangNews.com








