KUALA LUMPUR 11 Nov – Penstrukturan dalaman melibatkan pengurangan pekerja yang dilakukan PETRONAS adalah keputusan korporat bebas berdasarkan keadaan pasaran global dan domestik dan tidak ada sebarang kaitan dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan keputusan dalaman PETRONAS itu tidak ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan usaha Sarawak mengurus sumber minyak dan gasnya sendiri melalui Petros.
Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Dorris Sophia Brodie berkata, Sarawak terus bekerjasama dengan PETRONAS untuk memastikan kedua-dua entiti menyumbang secara positif kepada ketahanan tenaga Malaysia dan kepentingan negara jangka panjang.
“Perkongsian antara Sarawak dan PETRONAS kekal kukuh, strategik dan berwawasan ke hadapan.
“Kelab Penyokong GPS menegaskan bahawa penstrukturan kakitangan itu adalah sebahagian daripada hala tuju strategik PETRONAS dan tidak ada kaitan dengan hak perlembagaan atau tuntutan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, PETRONAS kekal sebagai salah satu syarikat minyak nasional yang paling berharga dan dihormati di Asia Tenggara, dengan asas kewangan yang kukuh, portfolio global yang pelbagai dan komitmen teguh terhadap kemakmuran Malaysia.
“Usaha Sarawak untuk memperkukuh Petros adalah pelengkap dan bukan bersaing dengan kedudukan PETRONAS di rantau ini, tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Petros bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa teknologi, pembiayaan, dan kepakaran bertaraf dunia berhubung isu tenaga kerja dalam Usahasama Loji Janakuasa Gas Turbin Gabungan (CCGT) Miri.
“Perkongsian ini dikawal oleh prinsip perolehan dan pelaburan yang telus untuk memastikan nilai dan manfaat terbaik bagi Sarawak.
“Rakyat Sarawak kekal menjadi fokus utama dalam strategi pembangunan PETROS, dengan penyertaan tempatan, pembinaan kapasiti dan peluang pekerjaan diutamakan,” katanya.
Loji Janakuasa CCGT Miri berkapasiti 500MW melibatkan rakan antarabangsa yang menyediakan kepakaran teknikal untuk fasiliti moden dan berkecekapan tinggi yang mewujudkan peluang untuk pekerja tempatan dan pembangunan bakat masa depan.
Beliau berkata, projek ini dilaksanakan di bawah model Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan dan Pengkomisenan (EPCIC), di mana setiap fasa memerlukan kepakaran teknikal berbeza.
“Walaupun beberapa pakar teknikal asing diperlukan, kontraktor antarabangsa bagi fasa semasa diwajibkan memenuhi komitmen kandungan tempatan minimum, termasuk penggunaan pembekal tempatan, subkontraktor, dan latihan semasa bekerja untuk rakyat Sarawak.
“Daripada kira-kira 400 pekerja di tapak, hampir separuh adalah rakyat Sarawak, termasuk ramai dari Miri, sementara kebanyakan penyelia, jurutera, juruteknik, dan tukang kimpal juga adalah pekerja tempatan,” katanya.
Tambahnya, usaha Sarawak untuk mendapatkan kawalan lebih besar ke atas sumber asli adalah berasaskan keadilan, hak perlembagaan, dan visi bersama untuk kemakmuran kolektif Malaysia.
“Sarawak, Petros dan PETRONAS akan terus bekerjasama secara konstruktif bagi memastikan masa depan tenaga Malaysia kekal kukuh, lestari dan inklusif,” katanya. - DagangNews.com








